KUCHING: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim
Abdullah semalam menyerahkan writ pilihan raya kepada 82 pegawai petugas SPR
sempena Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).
Kesemua 82 pegawai petugas SPR yang dipertanggungjawabkan itu semalam
terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai atasan perkhidmatan awam yang
dihormati dalam kalangan masyarakat.
Dalam ucapan ringkasnya, Hashim berkata pegawai petugas SPR merupakan
individu yang paling arif dalam kawasan pilihan raya yang dipertanggungjawabkan
pada PRN11 nanti.
Pegawai-pegawai SPR katanya, boleh membantu dari segi teknikal serta
kaedah perjalanan pilihan raya tetapi dari segi suasana keseluruhan yang
memerlukan budi bicara berhemah, hanya pegawai petugas SPR sahaja yang
mempunyai kebolehan dalam aspek ini.
“Sebab itu kami sangat menghargai khidmat para pegawai petugas SPR dan
mengharapkan perkara-perkara sedemikian ada dalam diri setiap anda ketika
pilihan raya berlangsung nanti.
“Kadang-kadang apa yang kami tuliskan atas kertas tidak sama dengan apa
yang berlaku di lapangan nanti dan sebab itu kami menye-rahkan kepada budi
bicara anda dalam memastikan kelancaran PRN11 nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu bagi pegawai petugas SPR yang baharu terlibat dalam
proses pilihan raya kali ini, Hashim berharap mereka akan jadikan ia sebagai
pengalaman baharu. Sekiranya berhadapan dengan masalah, SPR turut menyediakan
garis panduan untuk rujukan para pegawai petugas SPR.
“Jika kita dapat melakukan proses penjumlahan undi dan pengumuman lebih
awal ia adalah lebih baik kerana jika lambat ada sahaja tohmahan yang
dilemparkan kepada SPR.
“Jadi saya berharap anda semua akan menyempurna-kan tanggungjawab yang
diberi dengan seadil dan sebaik mungkin pada pilihan raya nanti,” tambahnya
pada majlis yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd
Morshidi Abdul Ghani turut mengingatkan para pegawai petugas SPR agar
menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan amanah pada pilihan raya
nanti.
Beliau mahu Sarawak menjadi contoh kepada negeri lain terutama dari segi
pengurusan pilihan raya yang cemerlang dan telus.
SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRN11 Sarawak pada 25 April
manakala hari pembuangan undi pada 7 Mei susulan pembubaran Dewan Undangan
Negeri (DUN) Sarawak pada 11 April lepas.
Turut hadir pada majlis itu semalam, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani
Salleh dan Pengarah SPR Sarawak Datu Takun Sunggah. – Utusan Borneo.
Post a Comment