SIBU: Kerajaan tidak pernah mengambil tanah rakyat dengan percuma, kata
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Bercakap pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Lebuh Raya Pan
Borneo di Dewan Suarah Sibu di sini semalam, beliau membidas propaganda atau
cakap pembangkang mengatakan kerajaan selalu merampas tanah rakyat.
“Majlis ini membuktikan bahawa kerajaan tidak mengambil tanah rakyat
tanpa bayaran. Setiap tanah diguna bagi tujuan pembangunan, kita akan bayar
pampasan mengikut harga yang sewajarnya.
“Kerajaan tidak sesuka hati merampas hak rakyat kerana kita
mempertimbangkan setiap kerugian itu dengan bayaran dan bukannya percuma,”
ujarnya.
Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri
Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,
Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Penyandang Dewan
Undangan Negeri (DUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Pengarah Jabatan Tanah dan
Survei Datu Sajeli Kipli, Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee dan Penguasa
Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Norlina Ra’ee.
Pada majlis itu, Adenan turut meyampaikan Warta Rizab Komunal Bumiputera
Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri kepada 783 penerima cek pampasan tanah dengan kos
keseluruhan RM25.646 juta.
Pemilik tanah itu merupakan pemilik terlibat dalam fasa satu pembinaan
Lebuh Raya Pan Borneo dari jajaran simpang Bintangor hingga ke Sungai Kua.
Beliau turut memberitahu bahawa kos kira-kira RM25 juta itu adalah untuk
majlis ini sahaja dan tidak termasuk kos pampasan lain di negeri ini.
“Kita mengeluarkan berjuta-juta ringgit membayar pampasan kepada rakyat.
Hari ini adalah buktinya, biar mereka (pembangkang) lihat,” katanya.
Sehubungan itu, Adenan turut membidas sikap pembangkang yang suka
menghasut dan bercakap bohong untuk mempengaruhi rakyat.
Jelasnya, pembangkang sering menggunakan isu kerajaan merampas tanah
rakyat tanpa mengetahui prosedur kerajaan membayar tanah rakyat untuk tujuan
pembangunan.
Adenan berkata setiap pembangunan dirancang adalah di atas tanah dan
bukannya di atas langit.
Sementara itu, beliau berkata setiap tanah di kampung halaman didaftar
untuk digazet supaya ada surat pemilikan tanah kerana tidak mahu berlaku isu
perebutan.
“Di sini, saya menegaskan
agar kita usah dengar cakap-cakap pembangkang dan mohon mereka melaksanakan
pembangunan jika mereka lebih berkemampuan daripada kerajaan sedia ada,”
tambahnya. – Utusan Borneo.
Post a Comment