SEBUYAU: Masyarakat Iban khususnya di kawasan Sebuyau digesa terus
menyokong penuh dan memberi kemenangan besar kepada Pasukan Adenan dalam
pilihan raya yang bakal menjelang.
Penyandang N.27 Sebuyau Datuk Julaihi Narawi berkata, hanya kerajaan
Barisan Nasional (BN) dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan
Satem berupaya memahami dan memenuhi keperluan masyarakat luar bandar di bawah
dasar Transformasi Luar Bandar (RTP) demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum.
Julaihi yang juga Menteri Muda Perindustrian (Pelaburan dan Promosi)
berkata, masyarakat luar bandar rugi jika tidak memilih BN kerana ia jaminan
kesejahteraan dan masa depan rakyat serta generasi akan datang lebih terjamin.
“BN membuktikan kemampuannya memajukan Sarawak malah ia menjadi teras
kepada perpaduan, kerjasama serta keamanan di negeri ini,” katanya ketika
merasmikan penutupan Program Sentuhan Kasih Sayang di Rumah Lunying baru-baru
ini.
Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar itu berkata amat bertepatan dan
wajar sekali rakyat negeri ini memberi sokongan padu kepada BN bagi meneruskan
kesinambungan pembangunan sedia ada.
“Hanya kerajaan BN yang dapat memahami keperluan dan kehendak rakyat di
Sarawak, parti lain yang berpangkalan di Semenanjung hanya kelihatan semasa
musim pilihan raya, tidak mungkin dapat membantu dan memahami keperluan rakyat
negeri ini,” katanya.
Program Sentuhan Kasih Sayang itu mendapat sambutan hebat penduduk Rumah
Lunying dan penduduk sekitarnya.
Sebelum majlis bermula Julaihi telah diberi sambutan penuh tradisi oleh
penduduk Rumah Lunying. Turut hadir isteri Julaihi Datin Saadiah Buji. – Utusan
Borneo.
Post a Comment