PKR sifatkan tarikh ditetapkan SPR ‘sangat baik’


KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyifatkan tarikh Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam dengan menetapkan 7 Mei 2016 hari mengundi dan 25 April 2016 sebagai hari penamaan calon satu tarikh yang ‘sangat baik’.
Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang memberitahu bahawa tarikh itu amat sesuai dan tepat.
“Pada pandangan saya tarikh ini ‘sangat baik’, tempoh dua minggu untuk berkempen mencukupi, tidak terlalu panjang dan tidak terlalu singkat, memadai untuk kita berkempen,” katanya ketika mempengerusikan sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini, semalam.
Pengumuman tarikh itu dilakukan oleh Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media sempena mesyuarat khas yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
“Berdasarkan pengalaman saya di Ba’Kelalan pada PRN lalu, Barisan Nasional (BN) kurang berkempen pada minggu pertama (dalam tempoh berkempen), namun tiga hari sebelum hari mengundi mereka sangat aktif,” tambah Baru.
Mengulas mengenai jentera PKR, beliau mendedahkan bahawa jentera parti sudah berada di tahap terbaik dan bersedia untuk digerakkan menjelang PRN11 kelak.
Malah, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai calon bukan pilihan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’Kelalan berkata, PKR akan terus bekerja keras demi mempertahankan kerusi itu.
“Untuk itu, kita harap rakyat Sarawak lebih matang dan kita mahu rakyat Sarawak memandang jauh demi masa depan,” tegasnya.
Selain itu, Baru turut menyifatkan PRN11 ini istimewa berbanding PRN lalu kerana suasana politik yang berbeza di bawah Pakatan Harapan yang baharu diwujudkan.
“Kalau dahulu kita bertan-ding di bawah Pakatan Rakyat tetapi kali ini kita di bawah Pakatan Harapan manakala BN pula dengan calon langsung mereka yang kita tidak tahu sama ada mendapat sokongan atau mendapat undi protes daripada rakyat, namun saya tidak mahu meramalkannya,” katanya.
Pada masa sama Baru berkata pihaknya akan mengumumkan calon PKR dalam masa terdekat termasuk tiga kerusi DUN iaitu Kakus, Jepak dan Lambir yang masih bertindih dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Hadir sama pada sidang media itu semalam, Naib Pengerusi PKR See Chee How, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Nicholas Bawin, Ketua Publisiti PKR Vernon Kedit dan calon PKR Serembu Athina Sim. – Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget