TERAS tidak akan ‘mati’ begitu sahaja

William Mawan Ikom berkata, TERAS boleh menjadi aset kepada BN dan sejak awal lagi, mereka tidak melihat diri sebagai pembangkang

KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) tidak akan ‘mati’ begitu sahaja, tegas bekas Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa TERAS dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) akan dibubarkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, bulan depan.

“Perdana Menteri mengesahkan tiada lagi TERAS dan UPP selepas pilihan raya,” kata King Sing yang dipetik The Star Online hari ini.

Mengulas perkara itu, William berkata, “TERAS tidak akan wujud dan kemudiannya hilang begitu sahaja.”

“Ini adalah perjuangan kami yang getir. Kami tidak menubuhkan parti ini (tanpa matlamat).

“Kami menubuhkan (TERAS) atas apa yang kami percaya dan sebelumnya meninggalkan SPDP, kerana ada perkara yang tidak lagi kami percaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.

TERAS ditubuhkan William yang merupakan bekas Presiden SPDP bersama beberapa pemimpin parti lain pada Mei 2014, selepas SPDP dilanda konflik dalaman.

Beliau meletak jawatan sebagai Presiden TERAS dan keluar daripada parti itu sebagai mematuhi syarat Adenan untuk menjadi calon langsung BN.

Khamis lalu, Adenan mengumumkan William akan terus mempertahankan kerusi DUN Pakan yang dimenanginya sejak lima penggal lalu.

Ditanya adakah TERAS akan terus memohon untuk menjadi parti komponen BN, jawabnya: “Kami akan cuba, walaupun saya mungkin tiada lagi locus standi selepas keluar parti.

“Jika mereka (parti komponen BN) melihat kami sebagai masalah, maka kami akan jadi masalah. Tetapi, kami boleh menjadi aset kepada BN. Sejak dari awal, kami tidak melihat diri sebagai pembangkang,” katanya lagi.-Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget