KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kecewa dengan Ketua Menteri
Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang meletakkan calon langsung Barisan
Nasional (BN) di kerusi milik parti itu.
Presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian berkata pihaknya tidak
bersetuju dengan konsep calon langsung BN namun pendirian itu telah ditolak
oleh Adenan.
“Walaupun kami tidak bersetuju dengan konsep calon langsung BN, kami
telah ditolak oleh Ketua Menteri.
“Kami kecewa dengan peruntukan kerusi SUPP kepada calon langsung BN
terutama bagi Pujut di mana Ketua Menteri telah mengubah fikiran, tetapi kami menyedari
bahawa ia adalah hak beliau,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.
Bagaimanapun Dr Sim berkata SUPP percaya bahawa semua calon langsung BN
akan mematuhi arahan Adenan untuk meletak jawatan daripada parti-parti politik
yang sedia ada untuk layak bertanding sebagai calon langsung BN.
Selain itu, katanya kerusi SUPP yang diperuntukkan kepada calon langsung
BN juga harus kekal menjadi kerusi SUPP.
Justeru, beliau menyeru ahli SUPP untuk terus bersatu dan kekal dalam
satu kuasa yang disegani.
“Matlamat kami adalah untuk memenangi kerusi sedia ada dan menyatukan
kuasa untuk bersedia bagi perjuangan jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Sim turut menggesa rakyat agar fokus terhadap isu
kritikal yang dipertaruhkan untuk mendapatkan semula autonomi Sarawak daripada
Putrajaya.
“Pilihan raya ini mempunyai misi yang besar iaitu mengenai masa depan
rakyat Sarawak dan bagaimana kita boleh mendapatkan semula autonomi kita.
“Sekarang adalah masa untuk
mengetepikan perbezaan masa lalu dan bersatu untuk melindungi Sarawak,”
katanya. – Utusan Borneo.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.