SIBU: Tiga lagi senarai calon Barisan Nasional (BN) bakal bertanding di
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi, Tasik Biru dan Meradong masih
menjadi tanda tanya selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem
mengumumkan lima calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) di sini, semalam.
Dua daripadanya merupakan calon terus BN iaitu Kapitan Datuk Janet Lau
bagi kerusi DUN Pelawan dan Tan Sri William Mawan Ikom yang masih diberi
kepercayaan mempertahan Pakan yang dimenanginya pada PRN 2011.
Adenan turut mengumumkan tiga calon daripada Parti Demokratik Progresif
Sarawak (SPDP) iaitu Willie Liau yang akan bertanding di Ba’Kelalan, Rolland
Duat (Meluan) dan Kilat Briak (Krian).
Adenan semasa ditanya selepas sidang media tersebut turut mengakui
beberapa kawasan bandar masih dalam kategori kelabu.
“Saya tidak pasti jumlahnya tetapi memang masih terdapat kawasan bandar
di kategori sebagai kawasan hitam juga…kelabu dan putih,” ujar beliau.
Bercakap lanjut, Adenan turut mengesahkan bahawa empat pemimpin UMNO
dilarang masuk ke Sarawak semalam.
Keempat-empat mereka Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos,
Presiden Eratkan Perhubungan Antara Negeri Ariffin Abu Bakar, Presiden
Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) Mejar (B) Razali Zakaria dan
Rahim Ibrahim yang terlibat dalam Gabungan NGO Melayu.
“Itu adalah jawapan kepada
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang sering mendakwa kita hanya melarang
pembangkang sahaja,” katanya. – Utusan Borneo.
Post a Comment