AMANAH parti pertama Malaysia perkenal calon OKU pada PRN11


KUCHING: Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak menjadi parti pertama di Malaysia memperkenalkan calon dari golongan orang kelainan upaya (OKU) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).

Calon tersebut merupakan aktivis hak asasi manusia, Rapelson Richard Hamit, 30, memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains Sosial (Kajian Perancangan dan Pengurusan Pembangunan) yang akan menentang calon BN dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Mohd Naroden Majais di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong.

Pengumuman nama Rapelson bagi mewakili parti itu dibuat oleh Timbalan Presiden Pakatan Harapan Salahuddin Ayob pada satu sidang media di sini, malam kelmarin.

Selain Rapelson, AMANAH turut mengumumkan 12 calon lain iaitu Mohammad Fidzuan Zaidi (Demak Laut), Nani Sahari (Samariang), Abang Abdul Halil Abang Naili (Muara Tuang), Othman Mustapha (Sadong Jaya), Andrew Jain (Sebuyau), Andri Zulkarnaen Hamden (Beting Maro), Jini Sahini (Kabong), Sopian Julaihi (Kuala Rajang), Mohamad Fadilah Sabali (Semop), Ibrahim Bayau (Daro), Kiprawi Suhaili (Jemoreng) dan Nurzaiti Hamdan (Balingian).

Menurut Pengarah Pilihan Raya AMANAH Dr Hatta Ramli, PRN11 merupakan kali pertama parti bertanding di kawasan-kawasan tersebut.

“Parti (AMANAH) kita masih baharu lagi, berusia lebih kurang enam bulan, namun kita telah diamanahkan oleh rakan-rakan lain dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di 13 kerusi pada PRN kali ini termasuk dua kerusi baharu.

“Namun apa yang pasti, ada dalam kalangan calon kami pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini, tetapi kebanyakan mereka kali pertama menyertai pilihan raya,” jelasnya.

Tambahnya, AMANAH menaruh keyakinan bahawa kesemua calon yang diumumkan itu mampu untuk menyempurnakan hasrat rakyat negeri ini, selain menentukan masa depan rakyat Sarawak.

Menurutnya, calon-calon AMANAH juga mahu Sarawak menjadi sebahagian daripada sistem federalisme yang adil, yang juga memberikan segala hak kepada Sarawak mengikut apa yang diperuntuk dalam segala perjanjian dan perlembagaan sedia ada.

“Mereka (calon) dari pelbagai latar belakang berazam akan bersama-sama dalam keadaan baik dan susah di negeri ini dan melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, justeru barisan utama kita pada kali ini akan diterima oleh rakyat berbilang kaum dan agama di sini.

“Kita akan tetap berdepan dengan Barisan Nasional (BN) kerana lawan PH yang paling utama adalah BN, jadi kita menumpukan usaha dan sepenuh tenaga untuk memastikan sokongan rakyat beralih kepada PH yang juga diwakili AMANAH,” tegasnya.

Beliau juga memaklumkan, pertembungan beberapa penjuru dengan parti-parti lain yang bukan dari PH pada PRN kelak akan ditentang dengan penuh berhemah dan aman.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget