Ahli sokong calon langsung BN keluar UPP


SIBU: Tiga cawangan Parti Rakyat Bersatu (UPP) di sini berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, atas pemilihan pemimpin parti tersebut sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN).
Tiga cawangan UPP iaitu UPP Cawangan Bawang Assan, UPP Cawangan Dudong dan UPP Cawangan Pelawan,  telah mengadakan satu sidang media di pejabat UPP Bawang Assan, petang semalam.
Sidang media ini berikutan pengumuman Ketua Menteri yang telah menamakan enam calon langsung BN  daripada UPP iaitu Dato Sri Wong Soon Koh yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, Ranum Mina (Opar), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Datuk Tiong Thai King (Dudong) dan Datuk Hii King Chiong (Pujut).
Berikutan pelantikan itu, semua calon langsung BN itu juga telah meletak jawatan daripada UPP berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Pengerusi Unit Bumiputera UPP Bawang Assan Andrew Shilling Bangit, tindakan pemimpin terbabit meletak jawatan daripada UPP adalah satu tindakan betul.
“Pemimpin terutama dari Bawang Assan dan Dudong telah dipilih menjadi calon langsung BN telah mengambil langkah betul bagi memenuhi keperluan yang telah ditetapkan oleh Pengerusi BN Sarawak yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” ujarnya.
Sehubungan itu, Andrew yang juga setiausaha politik Ketua Menteri menasihati semua pengundi di Bawang Assan dan Dudong untuk memberi sokongan penuh serta berdiri teguh di belakang pemimpin terbabit kerana mereka telah dipilih oleh BN.
“Kita juga mahu Ketua Menteri terus kekal untuk lima tahun lagi. Oleh itu, pengundi harus memilih calon BN ini iaitu Wong dan Tiong agar kita dapat meneruskan politik pembangunan,” jelas beliau.
Sementara menurut seorang lagi Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuan, ahli-ahli UPP telah mengadakan mesyuarat dua hari lepas bagi membenarkan pemimpin parti yang akan bertanding meletak jawatan dari parti.
“Keputusan ini adalah bagi memenuhi syarat sebagai calon langsung BN. Pada masa sama juga, tidak wujud isu tidak setia kepada parti,” katanya.
Naib pengerusi UPP Dudong itu berkata, jentera parti juga akan kekal kerana ahli-ahli parti akan sentiasa berdiri di belakang calon langsung BN bagi memastikan kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Setiausaha UPP Dudong Oliver Kuo pula yakin semua parti komponen BN akan memberi kerjasama yang baik kepada calon langsung BN itu semasa kempen nanti.
“Kita mahu memastikan BN mendapat kemenangan besar. Oleh itu, semua komponen BN harus bekerjasama dan bersatu bagi memastikan kejayaan BN,” katanya.
Beliau juga memberitahu, calon langsung BN yang terpilih menjadi wakil rakyat nanti juga bebas memilih mana-mana parti komponen BN atau parti yang setia kepada BN termasuk juga UPP. – Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget