SIBU: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom diberi
kepercayaan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri
Adenan Satem semasa mengadakan sidang media di sini, semalam.
Mawan semasa ditemui memberitahu, desas-desus mengenai pencalonannya
sudah sudah mula bertiup kencang beberapa hari lalu.
“Berita tersebut akhirnya dimuktamadkan sepenuhnya hari ini (semalam)
dengan pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Adenan Satem,” katanya.
Menurut Mawan, beliau percaya rakyat Pakan masih yakin terhadap beliau
dengan meletakkan kepercayaan mereka kepadanya sebagai wakil rakyat mereka.
Ditanya mengenai kerusi DUN Marudi dan Tasik Biru, Mawan menyerahkan
kepada Adenan untuk membuat keputusan.
“Kedua-dua pihak (SPDP dan TERAS) masing-masing mendakwa ramai
penyokong, jadi agak sukar untuk membuat sebarang ramalan,” ujar beliau.
Sementara itu, Kapitan Datuk Janet Lau, seorang lagi calon langsung
Barisan Nasional (BN) yang diumumkan semalam memberitahu bahawa beliau akan
berusaha membalas kepercayaan tersebut dengan memastikan kemenangan BN di
kerusi DUN Pelawan.
“Terima kasih atas kepercayaan Adenan dan juga kepimpinan UPP sebelum
ini kerana yakin dengan kemampuan saya bertanding di kerusi DUN Pelawan,” ujar
beliau.
Semalam, Adenan semasa mengadakan sidang media selepas menghadiri
Program Sejiwa Senada anjuran Kumpulan Rimbunan Hijau turut mengumumkan tiga
calon SPDP iaitu Willie Liau (Ba’Kelalan), Rolland Duat (Meluan) dan Kilat
Briak (Krian). – Utusan Borneo.
Post a Comment