KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) semalam melancarkan manifesto
pilihan rayanya yang mengandungi tiga teras utama iaitu Infrastruktur &
Perhubungan, Kemudahan Luar Bandar dan Pekerjaan.
Presidennya Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata manifesto PRS yang
berslogankan ‘United We Bargain, Divided We Bed’ mempunyai objektif yang sama
dengan manifesto Barisan Nasional (BN) yang bakal diumumkan nanti.
“Saya percana BN mempunyai manifestonya sendiri dan ketika ini ia belum
dimuktamad serta diumumkan lagi, jadi kami (PRS) mengumumkan manifesto lebih
awal dan ia tidak akan bercanggah dengan manifesto BN,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Majlis Pelancaran
Manifesto PRS bagi PRN Ke-11 di ibu pejabat parti di sini.
Masing yang juga calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh
menjelaskan bahawa di bawah teras utama terdapat dua subteras iaitu pembangunan
infrastruktur fizikal dan siber.
Manakala bagi teras kemudahan luar bandar ia merangkumi aspek sekolah
dan klinik, bekalan elektrik dan air bersih sementara teras ketiga menitik
berat pembangunan pendidikan teknikal serta pemberian biasiswa.
“Asasnya ialah kita (PRS) ‘go rural’ dan setiap calon mempunyai ikrar,
pencapaian dan apa yang perlu dilakukan dalam tempoh lima tahun akan datang,”
jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Masing berkata pembangunan penting di kawasan
luar bandar selepas pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo, penyambungan bekalan
elektrik dan bekalan air bersih.
“Sudah tentu pembangunan jalan raya di luar bandar amat perlu kerana ia
akan membawa kemudahan asas lain seperti bekalan elektrik dan air bersih
seterusnya infrastruktur siber (menara telekomunikasi).
“Sebagai parti politik berasaskan luar bandar, kita memfokus kepada
aspek ini, iaitu keperluan pembangunan di pedalaman,” tegasnya.
Ditanya mengenai usaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang turut
melancarkan program luar bandar menerusi projek ‘Impian Sarawak’, Masing
berkata bak kata pepatah ‘bertelur sebiji riuh sekampung’.
Menurutnya ‘Impian Sarawak’ hanyalah gimik politik kerana hanya memberi
impak sedikit dan melibatkan sekumpulan kecil rakyat tetapi mendakwa mereka
telah melakukan banyak untuk rakyat.
“Mungkin kelebihan publisiti yang mereka miliki… saya pernah melihat
video ‘Impian Sarawak’, mereka hanya membangunkan satu sumber bekalan air
tetapi dihebahkan seperti projek itu memberi manfaat kepada rakyat di seluruh
Sarawak
“Oleh sebab itu kita berusaha keras untuk mengurangkan jurang digital
antara bandar dan luar bandar,” ujarnya. – Utusan Borneo.
Post a Comment