MIRI: Larangan masuk terhadap pemimpin Pakatan Harapan ke Sarawak sama
sekali tidak mematahkan semangat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zon Utara untuk
terus berkempen memenangi hati rakyat terutama dalam kalangan pengundi.
Ketua PKR Baram Roland Engan berkata, keputusan kerajaan negeri itu
seperti menindas hak rakyat Sarawak yang percaya amalan demokrasi dan keadilan
dalam pilihan raya.
Beliau memberitahu, kehadiran pemimpin Pakatan Harapan dari Semenanjung
Malaysia itu kerana jemputan bertujuan membantu parti dan menemui penyokong.
“Kami tidak mempersoal kuasa autonomi imigresen Sarawak tetapi kami
mempersoalkan cara Adenan melaksana kuasanya sebagai Ketua Menteri dan
pengerusi BN Sarawak,” tegas beliau di sini, semalam.
Antara yang dilarang memasuki negeri ini ialah Naib Presiden PKR Nurul
Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah
Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Subang R
Sivarasa, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok. Turut dilarang masuk ialah Presiden
Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.
Ceramah umum yang dirancang diadakan pada 17 April ini di pasar Lapok,
Tinjar Baram akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran pemimpin tertinggi PKR.
Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali dijemput untuk menemui penyokong parti di Lapok.
Manakala Setiausaha PKR Baram Dennis Along menjelaskan bahawa jika Azmin
turut dihalang masuk ke Sarawak, parti itu tetap terus berkempen.
“Kami berharap kerajaan negeri tidak bertindak terlampau drastik
menghalang beliau (Azmin),” katanya.
Beliau memberitahu, jemputan terhadap Azmin untuk menyempurnakan jentera
kempen PKR Zon Utara merangkumi kawasan DUN Marudi, Telang Usan, Mulu, Murum,
Senadin, Bekenu dan Lambir.
Dennis berkata, aktiviti bermula jam 8 pagi hingga 4 petang menyasarkan
seramai lebih 1,000 penyokong parti di sekitar kawasan Lapok.
Penyokong juga boleh menemui calon berpotensi PKR Zon Utara yang turut
akan menyampaikan ucapan mereka.
Antaranya, Pengerusi PKR
Sarawak dan ADUN Ba’Kelalan Baru Bian, calon berpotensi Senadin Steve Teo,
calon Lambir Mohdar Ismail, calon Bekenu Gaby Janting Douglas, calon Telang
Usan Roland Engan, calon Marudi Elia Bit, calon Mulu Paul Baya dan calon Murum
Abun Sui. – Utusan Borneo.
Post a Comment