PBB yakin menang semua kerusi di Samarahan


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin menang dengan cemerlang di semua tujuh kerusinya di bahagian Samarahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan daripada jentera parti.

“Berdasarkan sokongan daripada jentera parti kami yakin dapat menyapu bersih tujuh kerusi PBB di bahagian Samarahan.

“Malahan ia juga atas sokongan rakyat kepada polisi Ketua Menteri sebagai pengerusi BN yang menekankan pembangunan luar bandar,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Persiapan Jentera Pilihan Raya PBB Bahagian Samarahan di ibu pejabat PBB di sini, semalam.

Tujuh kerusi DUN PBB di bahagian Samarahan ialah Asajaya, Muara Tuang, Stakan (kerusi baharu), Gedong (kerusi baharu), Simunjan, Sebuyau dan Sadong Jaya.

Menurut Abang Johari, malahan kini Samarahan merupakan model terbaik transformasi luar bandar di bawah polisi kepimpinan Ketua Menteri.

“Samarahan menjadi satu wadah kepada pembangunan luar bandar di negeri ini dan ia adalah hasil daripada polisi beliau yang memberi penekanan kepada infrastruktur serta sumber manusia dari luar bandar.

“Maka itu merasakan semangat tinggi dan yakin akan mencapai kemenangan cemerlang dapat dicapai di semua kerusi Samarahan,” katanya.

Abang Johari berkata, pemimpin PBB pada masa yang sama turut menyokong pendirian Ketua Menteri dalam tindakannya menghalang beberapa ahli politik yang datang ke Sarawak dengan tujuan menggugat perpaduan rakyat negeri ini.

Katanya golongan sedemikian sewajarnya dihalang masuk ke negeri ini bagi mengelak mereka menghakis perpaduan pelbagai kaum yang ada.

Turut hadir penyandang dan calon BN di bahagian Samarahan iaitu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (penyandang-Asajaya), Datuk Idris Buang (muka baharu-Muara Tuang), Datuk Seri Mohd Ali Mahmud (kerusi baharu-Stakan), Aidel Lariwoo (penyandang-Sadong Jaya), Datuk Julaihi Narawi (penyandang-Sebuyau) dan Awla Dris (muka baharu-Simunjan).

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget