KUCHING: Tindakan kerajaan negeri menyekat Ketua Bahagian UMNO Sungai
Besar Datuk Jamal Md Yunos daripada memasuki Sarawak adalah demi keharmonian
negeri tanpa mengira latar belakang politik.
Jamal disekat memasuki negeri ini sebaik tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira jam 11.30 pagi semalam bersama tiga lagi
rakannya iaitu Abdul Rahim Ibrahim, Ariffin Abu Bakar dan Razali Zakaria.
Keempat-empat individu ini yang merupakan pemimpin pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dari Semenanjung Malaysia datang ke negeri ini dengan tujuan
untuk membantu rakan Barisan Nasional (BN) berkempen pada Pilihan Raya Negeri
Ke-11 (PRN11).
Ketika dihubungi semalam, Jamal atau ‘Red Shirt Jamal’ menyatakan rasa
kesal dan terkejut apabila dihalang daripada memasuki negeri ini oleh Kerajaan
Negeri Sarawak.
“Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tujuan kami datang ke sini
adalah untuk membantu kerajaan.
“Sebagai NGO yang prokerajaan kami ke sini untuk membantu Kerajaan
Sarawak berkempen pada pilihan raya negeri yang akan datang ini,” katanya.
Tambah Jamal, sebaik mendarat di LTAK, kami ditahan di kaunter dan
menunggu satu jam untuk pegawai imigresen menyediakan semua dokumen dan tiket
penerbangan bagi menghantar balik mereka.
Menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu sebagai pilih kasih, Jamal
berkata keputusan itu adalah tidak adil kerana banyak lagi pemimpin daripada
NGO pembangkang yang dibenarkan masuk ke negeri ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Stephen Rundi Utom
menjelaskan bahawa Jamal disekat daripada memasuki Sarawak susulan pembabitan
beliau dalam pergerakan politik dan agama di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kata Rundi, sekatan
terhadap Jamal jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak mendiskriminasi
pemimpin pembangkang tetapi semua pelampau agama daripada kedua-dua belah pihak
akan disekat jika akan menjejaskan keharmonian negeri. – Utusan Borneo.
Post a Comment