Dayak National Party sekadar kacau daun di 29 kerusi


KUCHING: Terdapat spekulasi hangat menjelang pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan muncul sebuah parti baharu, Dayak National Party (DNP), bakal mencuba untuk menggugat Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Khamis lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu diberikan kebenaran untuk menggunakan lambangnya pada pilihan raya ini.

Kehadiran DNP akan menyesakkan lagi pertandingan kali ini dengan kini sudah terdapat 14 parti bakal bertembung, 10 ialah parti pembangkang.

BN terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bertanding di 40 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) di 11 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) setakat ini 12 kerusi, dan Parti Progresif Demokratik Sarawak.

BN turut menampilkan 13 calon langsung, terdiri daripada parti serpihan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras, dengan tiga lagi calon yang ada kaitan dengan PBB.

Setakat ini 79 kerusi telah dinamakan calonnya, manakala tiga kerusi lagi, iaitu Maradong, Tasik Biru dan Marudi belum lagi diumumkan calonnya. Sama ada ada kerusi majoriti Cina Maradong diserahkan kepada SUPP atau UPP dan kerusi majoriti Iban Marudi, dan kerusi majoriti Bidayuh diserahkan kepada Teras atau SPDP, dijangka diketahui minggu depan.

Hari penamaan calon ialah Isnin 25 April, dan hari mengundi 7 Mei.

Jika benar DNP sudah didaftarkan, maka ini pasti akan meningkatkan lagi jumlah parti bakal bertanding di kawasan Dayak yang terdiri daripada Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. Setakat akhir tahun lalu, parti berkenaan yang menggunakan lambang perisai yang terletak dalam bulatan berwarna hitam belum lagi didaftarkan.

Ketika itu seperti dilaporkan media, ia dikatakan ditaja oleh seorang bilionair yang punya hubungan rapat dengan orang yang bergelaran Tun dan Datuk Seri, dan disifatkan seorang bekas pemimpin politik yang berpengaruh.

Kehadiran terlalu banyak parti Dayak sebenarnya dianggap tidak menguntungkan komuniti itu, malah memecahkannya lagi ketika kaum Dayak sudah menganggotai semua parti politik di Sarawak.

Manifesto parti itu adalah untuk memperjuangkan hak masyarakat Dayak, Tanah Adat Bumiputera (NCR), menuntut peluang pekerjaan ditambah dalam sektor awam supaya diberi sama rata kepada masyarakat pelbagai etnik di Sarawak, serta memberi biasiswa kepada pelajar tanpa mengira etnik khususnya daripada keluarga miskin.

Berdasarkan latar belakang 29 calon yang hendak ditampilkan, mereka bukan terdiri daripada mantan pemimpin parti komponen BN.

DNP dikatakan akan bertanding di kawasan Cina, Bidayuh, Melayu dan Orang Ulu, tetapi tumpuannya ialah kerusi majoriti Iban.

Sebaliknya, kelayakan akademik mereka adalah mengagumkan, dengan ada daripada mereka terdiri daripada pemegang ijazah kedua dan ketiga. Calon berkenaan juga terdiri daripada pensyarah, jurutera, ahli perniagaan, aktivis sosial, doktor perubatan, pengarah urusan syarikat, dan perunding.

Seperti parti-parti lain yang menjelma pada musim pilihan raya dalam pilihan raya yang lepas-lepas, penganalisis politik menyifatkan kehadiran DNP tidak akan memberi kesan signifikan tetapi lebih bertindak sebagai ‘kacau daun’, dan menguntungkan calon BN. Keterbatasan masa untuk memperkenalkan calon, jentera akar umbi yang lemah, dan cabaran dari segi geografi kawasan yang ditandingi, juga bakal menjejaskan peluang mereka menang, katanya-SarawakVoice

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget