MARUDI: Penduduk kampung dari kawasan Kem Temala, Long Bedian, Long Lama, Tutoh, Apoh dan Hulu Baram bergantung kepada jambatan kayu menyeberangi Sungai Temala kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan baharu diperbuat daripada konkrit dan besi sudah siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata jambatan bernilai RM2 juta itu dibina bagi menggantikan jambatan kayu yang semakin usang dan berbahaya dilalui kerana boleh runtuh bila-bila masa.
“Kini penduduk tidak perlu berasa takut dan bimbang kerana jambatan baharu sudah siap dan dapat dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan,” katanya ketika mengadakan lawatan dan meninjau projek jambatan baharu itu.
Menurutnya, jambatan itu penting kerana ia merupakan laluan menghubungkan penduduk pekan Long Lama dan beberapa perkampungan Orang Ulu sama ada di Apoh, Tutoh, Hulu Baram dan Bario.
Jambatan yang sama juga merupakan laluan menghubungkan Long Lama dengan Long Bedian iaitu kampung kelahiran Dennis.-Utusan Borneo
Post a Comment