Pelbagai cabaran dihadapi untuk membangunkan infrastuktur di Sarawak


KUCHING: Keadaan yang berbukit-bukau serta tanah gambut antara cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha membangunkan infrastruktur terutama membina jalan raya di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, bukan itu sahaja dengan keadaan kawasan yang luas untuk dibangunkan juga menjadi cabaran kepada kementerian merealisasikan agar semua kawasan dihubungkan khasnya di luar bandar.

“Seperti anda semua maklum bahawa kita masih ada lebih 4,000 kilometer jalan yang harus dilaksanakan dalam tempoh 14 hingga 15 tahun dengan lebih 1,000 kampung perlu dihubungkan, yang memerlukan tidak kurang RM28.4 bilion bagi pelaksanaan.

“Isunya di sini adalah dari segi kapasiti kita ada, namun dari segi kewangan mungkin kita perlu bekerjasama bukan sahaja kementerian tetapi juga ahli kabinet negeri lain dalam mendapatkan peruntukan mencukupi agar semua kampung dapat dihubungkan menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tugas Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan kepadanya daripada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan yang kini Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin Jawong di sini, semalam.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, keutamaan yang akan diberi perhatian adalah menghubungkan semua kawasan yang kebanyakannya di luar bandar.

Selain itu katanya, kementerian akan meneliti Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam usaha mencapai matlamat berkenaan.

“Kita perlu memahami antara keperluan infrastruktur bandar dan infrastruktur luar bandar yang mungkin berbeza.

“Saya juga amat gembira kerana mempunyai rakan kerja yang berkemampuan dan berpengalaman untuk membantu saya melaksanakan usaha ini.

“Ia bukan satu tugas yang senang tetapi saya akan berusaha melakukannya,” katanya.

Sementara itu Manyin berkata, Sarawak yang mempunyai keluasan 124,000 kilometer persegi dengan hanya 2.6 juta populasi dianggarkan dengan densiti kira-kira 20 orang bagi setiap kilometer persegi.

“Namun di luar bandar pula lima orang bagi setiap kilometer persegi dan kita perlu membina jalan satu kampung ke kampung lain yang menelan kos RM100 juta untuk menghubungkan kira-kira 100 orang, yang merupakan cabaran.

“Selain itu saya menegaskan sekali lagi, pembinaan bagi jalan pesisir pantai di negeri ini merupakan cabaran apabila kita perlu menghadapi tanah gambut dengan kedalaman sehingga 13 meter,” katanya.

Beliau berkata, sementara bagi pembinaan jalan utama seperti Projek Lebuh Raya Pan Borneo, juga menghadapi cabaran dari segi bentuk muka bumi yang berbukit-bukau.

Turut hadir tiga Menteri Muda Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Datuk Talib Zulpilip (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Lee Kim Shin (Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan) dan Liwan Lagang (Pengangkutan Sungai dan Keselamatan) serta Setiausaha Tetap Kementerian Safri Zainudin.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget