RM300j diperuntuk selesai masalah menara telekomunikasi


JEMPOL - Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi menyelesaikan masalah menara telekomunikasi sedia ada yang masih belum mempunyai talian di seluruh negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, peruntukan itu telah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dan ia dalam proses pelaksanaan.

"Saya faham tentang masalah yang dihadapi masyarakat tentang adanya menara ini tetapi perkhidmatannya tiada.

"Perkara ini telah saya kemukakan kepada perdana menteri dan beliau telah bersetuju untuk selesaikan masalah ini di seluruh negara dengan menyediakan peruntukan RM300 juta," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan pada Program Rahmat Ramadan di Masjid Tunku Mukriz, Bandar Seri Jempol di sini, hari ini.

Beliau berkata, masalah itu yang juga dikenali sebagai 'naked tower' telah diselesaikan sepenuhnya di Sarawak.

"Kita mahu rakyat di Malaysia tidak kira di bandar mahupun luar bandar mereka seharusnya dapat merasai nikmat kemudahan internet kerana ia kini sudah menjadi satu keperluan.

"Kita (kerajaan) harus pastikan ia dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Terdahulu, Salleh dalam ucapannya berkata, Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia akan diwujudkan di empat kampung di kawasan Jempol.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menekankan agar rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan kestabilan negara dan Umno yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara sejak merdeka harus dipertahankan.

"Pemimpin kluar dan masuk, datang dan pergi di dalam parti tetapi parti harus dikekalkan agar dapat memastikan negara kita Malaysia terus maju, dapat menyediakan peluang pekerjaan dan peluang ekonomi yang baik kepada rakyat.

"Ia mustahil untuk dilakukan sekiranya negara tidak aman dan politik tidak stabil... perbezaan pendapat kena diurus sebaiknya dalam suasana muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Pada majlis anjuran Yayasan Pelajaran dan Kebajikan Jempol dengan kerjasama Umno Bahagian Jempol itu, sebanyak 1,282 penerima dari sekitar Jempol yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan imam menerima sumbangan. 

- Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget