Rosey Yunus & Ripin Lamat diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab


MIRI: Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang melahirkan keyakinan bahawa wakil rakyat yang dipilih semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu terutama di Bekenu dan Lambir mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Beliau berkata kemenangan Rosey Yunus di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu sementara Ripin Lamat di DUN Lambir menyaksikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Kedua-dua wakil rakyat ini mempunyai peruntukan yang besar bagi menaik taraf kampung dan rumah panjang, sehubungan itu rakyat tidak perlu takut untuk menerima pembangunan di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Berbuka Puasa Perdana Parlimen Sibuti di Gelanggang Terbuka Bola Keranjang Majlis Daerah Subis petang kelmarin yang dihadiri lebih 200 orang pelbagai kaum.

Ahmad Lai berkata ketika ini banyak pihak yang ingin menyertai PBB kerana keyakinan mereka terhadap pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Ia terpulang kepada Adenan untuk membuat keputusan terbaik sama ada mahu menerima mereka menyertai PBB, bagaimanapun minat mereka menyertai PBB melambangkan parti itu semakin kukuh,” jelasnya.

Beliau menambah, semua janji-janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRN lalu akan ditunaikan menerusi wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

“Saya yakin dengan kerjasama antara Ahli Parlimen dan ADUN, maka kontituensi Sibuti dijangka akan terus membangun dan semua projek-projek yang pernah dijanjikan akan dilaksanakan,” jelasnya.

Tambahnya, projek menaik taraf jalan-jalan kampung dan rumah panjang, membina rumah mesra rakyat dan sebagainya akan dilaksanakan melalui wakil rakyat dan agensi pelaksana kerajaan.

Turut hadir Pengerusi Program Kaunselor Jamali Basri, Pegawai Daerah Subis Husaini Bakir, Ketua Publisiti PBB Yusup Sani Wahab, Pemanca Wilson Siang Lim serta ketua-ketua masyarakat lain.

Mengulas mengenai program itu, Ahmad Lai berkata ia sebagai tanda menghargai sokongan dan kerjasama penduduk setempat dalam menjayakan PRN di Bekenu dan Lambir baru-baru ini.

“Adenan Satem juga mahu agar lebih banyak program sedemikian dianjurkan bagi merapatkan hubungan di kalangan rakyat berbagai kaum seterusnya penganut agama lain boleh memahami amalan puasa,” jelasnya.

Sementara itu, Jamali berkata objektif program yang julung kali diadakan adalah untuk merapatkan hubungan akrab di kalangan rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan terutama di kawasan Bekenu.

“Kita amat berharap program ini menjadi contoh kepada simbol perpaduan kaum kerana melibatkan orang awam yang mengamalkan pelbagai kepercayaan selaras dengan konsep 1Malaysia di Sarawak,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget