Kematian Bill kehilangan besar buat PKR Sarawak


KUCHING: Kematian Bill Kayong, 43, merupakan kehilangan besar buat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak khasnya.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata Bill merupakan ahli setia PKR yang juga aktivis vokal bagi penduduk asal negeri ini tanpa gentar memperjuangkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Saya dan ahli parti terkejut apabila mendengar mengenai kematian ahli setia kami, Bill Kayong pagi tadi (semalam) di tangan pembunuh.

“Parti telah kehilangan seorang kawan setia dan baik dan kehilangannya amat dirasai oleh Dr Michael Teo kerana Bill merupakan pembantu amat dipercayainya,” ujar Baru dalam satu kenyataan media semalam.

Menurutnya tiada kata-kata yang dapat mengatakan kesedihan dan kemarahan parti terhadap tindakan kejam penjenayah yang menembak mati Bill.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan berkata meskipun masih muda, Bill sentiasa bersemangat mengejar keadilan untuk rakyat dan sangat lantang menentang sebarang bentuk diskriminasi atau ketidakadilan dalam masyarakat.

Tambahnya, Bill merupakan seorang yang sarat dengan misi dan banyak lagi boleh beliau sumbangkan untuk rakyat.

PKR katanya, masih menunggu butiran mengenai jenayah kejam itu dan menggesa polis berusaha bersungguh-sungguh menyiasat kes ini sehingga pesalah berjaya dibawa ke muka pengadilan.

“Sudah tentu kita amat simpati kepada keluarga mendiang atas kehilangan beliau. Anak-anaknya boleh berbangga dengan dedikasi serta komitmen ayah mereka.

“Parti berterima kasih kepada mendiang Bill kerana menjadi sebahagian daripada PKR dan berjuang selama ini. Sudah pasti kehilangannya akan dirasai,” ujar Baru.

Sementara itu Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How mengutuk keras perbuatan kejam itu dan menyeru orang ramai yang berada di lokasi ketika kejadian serta mungkin mempunyai maklumat tampil membantu polis.

“Saya amat berharap dan menyeru orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian dan mungkin mempunyai maklumat mengenai pembunuh atau kenderaan digunakan agar tampil memberi informasi kepada polis,” katanya.

Bagi See, Bill bukan sekadar ahli parti tetapi seorang kawan rapat dan sebagai ahli keluarga.

“Banyak perkara kami lakukan bersama-sama sedekad yang lalu, menjadikan hubungan kami tidak sekadar ahli parti tetapi kawan rapat dan saudara.

“Kita telah kehilangan seorang pemimpin parti yang rajin dan aktivis hak peribumi dihormati, mesra kepada semua orang serta tidak berdendam dengan lawan politiknya atau antagonis,” kata See.

Presidan PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menggesa semua pihak agar bersabar dan menunggu kenyataan penuh daripada polis.

“Pada ketika ini motif jenayah pembunuhan masih belum dikenal pasti. Bagaimanapun, Keadilan (PKR) menggesa semua pihak bersabar dan menunggu kenyataan penuh daripada Polis Diraja Malaysia.

“Keadilan turut menggesa mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam ini segera dikesan, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Bagi keluarga besar Keadilan, kami merakamkan ucapan takziah buat keluarga saudara Bill Kayong,” kata Wan Azizah.

Menurut laporan awal polis, Bill ditembak oleh individu tidak dikenali ketika sedang menunggu di dalam kereta miliknya, Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat di Lutong Miri.

Ketika kejadian berlaku iaitu kira-kira jam 8.20 pagi, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Senadin, Miri ke pejabatnya di Permayjaya, Miri.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan dan motif kejadian masih disiasat.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Bill bertanding atas tiket PKR bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu bagaimanapun tewas kepada calon langsung Barisan Nasional (BN) Rosey Yunus.


-Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget