Kemenangan bukti rakyat yakini rekod cemerlang BN


KUCHING: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan rakyat meyakini rekod cemerlang BN serta menolak politik kebencian dan pecah belah yang dibawa pembangkang.

Menyatakan demikian, Ketua Pemuda BN Sarawak merangkap Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof turut menyifatkan kemenangan itu juga bukti jelas bahawa rakyat tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan pengerusi BN.

Malah, katanya ia turut mencerminkan bahawa rakyat menerima baik dasar dan pendekatan kerajaan pimpinan Najib walaupun pembangkang menggunakan pelbagai cara termasuk mendapatkan bantuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen.

“Sama juga seperti rakyat di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu yang menolak bulat-bulat kehadiran PAS dan AMANAH di Sarawak, rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga telah memberi isyarat jelas bahawa mereka menolak polemik PAS dan parti serpihannya.

“Rakyat telah memilih politik ke arah kesejahteraan rakyat dan pembangunan berterusan yang dibawa oleh BN, apa lagi sejak mengambil alih kepimpinan negara Datuk Seri Najib telah membuktikan sikap konsistennya dalam membela nasib rakyat di seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Petra Jaya turut mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera BN dan kepada kedua-dua Ahli Parlimen baharu, Budiman Mohd Zohdi (Sungai Besar) dan Datin Mastura Yazid (Kuala Kangsar).

“Selaku Menteri Kerja Raya, saya akan bekerjasama dengan kedua-dua wakil rakyat baharu ini terutama ke arah memastikan pembinaan Jambatan di Manong, Kuala Kangsar, seperti diumumkan Perdana Menteri, dilaksanakan mengikut jadual dan memastikan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FR5 dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam, Selangor, mengikut jadual,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget