Kes pembunuhan Bill Kayong harus diberi keutamaan


MIRI: Parti Tindakan Demokratik (DAP) terkejut dengan berita pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri Bill Kayong yang mati ditembak berhampiran Pusat Komersil Permyjaya awal pagi semalam.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata kes berkenaan perlu diberi keutamaan siasatan polis berikutan kes pembunuhan ahli politik terbabit disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan saya menghubungi polis agar kes berkenaan diberi keutamaan untuk siasatan lebih rapi kerana melibatkan pembunuhan ahli politik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Chong berkata, melihat kesan tembakan di kenderaan yang dipandu mangsa beliau percaya suspek menggunakan pistol dan mahu penjenayah terbabit ditangkap dengan segera.

“Kita amat sedih dengan kejadian itu lebih-lebih lagi pembunuhan melibatkan individu yang dikenali ramai, bagaimanapun kita mahu kes ini disiasat dengan lebih terperinci dan membawa penjenayah ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Chong menyifatkan Bill seorang anak tempatan yang banyak memperjuang isu-isu tanah Hak Adat Bumiputera di kawasan luar bandar.

“Trend kes pembunuhan ahli politik sejak akhir-akhir ini sangat menakutkan dan kita berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dalang pembunuhan itu,” jelasnya.

Sementara itu, aktivis masyarakat Wan Zain Syed Mohdzar menyifatkan pembunuhan ahli politik sememangnya mengundang pelbagai persepsi daripada orang awam terutama isu peribadi.

“Kita tidak tahu punca atau motif pembunuhan itu namun sedikit sebanyak menimbulkan kesangsian terhadap isu keselamatan dalam negara ini apabila ada pihak mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Menurutnya, sekiranya terdapat isu-isu peribadi terutama melibatkan ahli politik maka sewajarnya pihak berkenaan mengggunakan saluran yang betul seperti mahkamah dan sebagainya.

“Kita amat sedih sekiranya kes berkenaan melibatkan isu-isu peribadi serta terkilan kerana orang awam sanggup mengambil tindakan atas tangan sendiri dengan melakukan jenayah pembunuhan,” jelasnya.

Sementara itu, Bill Kayong, 43, mati ditembak dengan senapang patah oleh individu tidak dikenali di persimpangan lampu isyarat berhampiran pusat komersil Permyjaya di sini ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Senadin ke pejabatnya yang terletak di pusat bandar.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget