Kenapa asyik salahkan Cina?


Setiap kali timbulnya masalah berkaitan kaum tertentu, sudah pasti kaum lain yang akan dipersalahkan.

Contoh terbaik ialah kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali semalam yang menuduh syarikat Cina tidak mengambil graduan Bumiputera dari universiti awam dengan alasan bahasa Inggeris mereka lemah.

Bukan itu sahaja, Ibrahim turut mendakwa orang Cina hanya bekerjasama sesama kaum sendiri dalam bidang perniagaan dan tidak memberi peluang kepada orang Melayu berniaga.

Bekas naib canselor Universiti Malaya Ghauth Jasmon pula menjangkakan jumlah graduan menganggur dari universiti awam akan terus meningkat dengan 80% daripada 400,000 penganggur itu terdiri daripada Bumiputera disebabkan mereka lemah dalam bahasa Inggeris.

Kenyataan Ghauth itu jelas menunjukkan masalah terletak pada graduan Bumiputera itu sendiri yang lemah dalam bahasa Inggeris, tetapi pernahkah graduan mengkaji diri dan kelemahan sendiri?

Jika sudah mengkaji diri, adakah sebarang usaha diambil untuk meningkatkan kemahiran sendiri sejajar keperluan semasa pekerjaan?

Ia sama dengan keadaan di mana sesetengah orang akan bertanya apakah manfaat yang boleh diberikan majikan, tetapi mereka tidak pula tanya diri apa yang boleh mereka lakukan untuk syarikat.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah mengkritik isu sama kerana trend graduan Melayu lebih gemar memilih “mata pelajaran senang” yang langsung tiada nilai di pasaran kerja dan seterusnya menyebabkan kadar pekerjaan rendah di kalangan kaum itu.

“Graduan Cina memilih mata pelajaran yang betul supaya mereka boleh diambil. Kami dapati graduan Melayu terutamanya daripada aliran Melayu, tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Tidak kisah berapa harga anda letak pada sijil, hakikatnya majikan hendak mengupah seseorang yang dapat berkomunikasi. Majikan itu bukan Melayu, mereka dari luar negara dan sekiranya mereka tidak dapat berkomunikasi dengan anda, mereka tidak akan mengambil anda,” demikian kata Dr Mahathir.

Tambahan, ada di kalangan syarikat hanya mengambil graduan Cina kerana mereka memerlukan pekerja fasih bercakap dan tahu menulis bahasa Cina demi keperluan perniagaan mereka.

Ada pula graduan Bumiputera yang memilih berkhidmat dalam sektor awam atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disebabkan gaji dan manfaat yang ditawarkan kerajaan seperti pencen dan sebagainya.

Sesetengah graduan Bumiputera pula tidak minat bekerja dengan syarikat Cina kerana bukan semua syarikat Cina yang mampu menawarkan gaji dan manfaat seperti GLC.

Lagipun syarikat swasta milik orang Cina menjalankan perniagaan untuk mencari keuntungan, bukannya badan kebajikan yang boleh menyara pekerja tidak berdaya saing berdasarkan bantuan kerajaan.

Lantaklah Ibrahim hendak jadi hero kampung atau bangsa, tetapi usahlah memijak dan memfitnah kaum lain sehingga menyebabkan sifat benci-membenci di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini semakin menebal.

Jika Ibrahim menganggap dirinya pemimpin, beliau sepatutnya mencari jalan untuk menyelesaikan isu itu dan membantu graduan Bumiputera bukannya mengapi-apikan sentimen perkauman sehingga menjejaskan hubungan sesama rakyat.

Antaranya lakukan kajian lebih mendalam untuk mencari punca sebenar Graduan Bumiputera menganggur atau ditolak syarikat Cina, bukannya sekadar mendengar kata orang atau sekumpulan kecil aduan “mangsa” dan terus menjatuhkan hukuman.

Ingatlah…ketika menuding jari ke arah orang lain, satu jari menunjuk ke arah luar tetapi empat lagi jari menghala ke dalam, yakni ke arah sendiri yang bermakna sesuatu masalah itu timbul bukan disebabkan silap satu pihak sahaja, sebaliknya pihak lain juga perlu mengkaji kelemahan diri.

-FMT
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget