Jangan melatah berhubung rombakan kabinet pusat


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengingatkan pihak berkaitan supaya tidak mudah melatah berhubung rombakan kabinet pusat yang menyebabkan Sarawak kehilangan satu portfolio menteri penuh.

Katanya, isu tersebut perlu dilihat secara menyeluruh serta mengambil kira aspek kepentingan negara.

Meskipun tiada pelantikan menteri penuh daripada Ahli Parlimen Sarawak, Abang Johari berkata bilangan sedia ada dalam barisan kabinet pusat masih banyak.

“Saya percaya kita (Sarawak) masih mempunyai suara yang kuat dalam kabinet pusat, walaupun MP Sarawak tidak dilantik sebagai menteri, tetapi timbalan menteri dari Sarawak,” katanya.

Abang Johari mendedahkan perkara itu ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Khatamal Quran Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Berbuka Puasa bersama agensi-agensi Islam di Dewan Tuanku Abdul Halim Muadzam Syah di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, katanya keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan bermakna tidak menekankan kepentingan Sarawak.

Sebaliknya beliau menganggap pemilihan itu perlu dikaji secara total dari segi kepentingan semua pihak terutama negara.

“Bagi kita di Sarawak, masih mempunyai enam orang, dan keputusan ini dibuat atas dasar budi bicara Perdana Menteri dan sudah pasti beliau (Najib) mempunyai justifikasi sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mendedahkan sebab rombakan itu dibuat kerana Najib mahu mengurangkan bilangan jemaah menteri selain memberi laluan kepada Selangor untuk mempunyai wakil dalam kabinet pusat.

“Perkara ini dinyatakan Perdana Menteri kepada saya semasa berada di Kuala Lumpur pagi tadi (Selasa), saya berpeluang berbincang sedikit dengan beliau tentang isu ini,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget