Laporan 1MDB, Editor WSJ Menang Anugerah


Laporan The Wall Street Journal's (WSJ) berhubung skandal 1MDB dan editor ekonominya untuk rantau Asia, Tom Wright memenangi Anugerah Persatuan Penerbit-penerbit Asia (Sopa) 2016 di Hong Kong malam ini.

Penerbitan itu menjadi pemenang Kumpulan A untuk Anugerah Scoop berhubung laporan mereka mengenai "Skandal 1MDB Malaysia" yang kemudian mendorong siasatan global dijalankan ke atas dana milik negara, selain mendapat liputan media di seluruh dunia.

WSJ juga mendapat penghargaan untuk rencana sama bagi Anugerah Kecemerlangan Laporan Penyiasatan.

Kategori itu memberi penghargaan kepada laporan yang membuat pendedahan mengenai rasuah atau salah guna kuasa dan menuntut pertanggungjawaban.

Wright pula dipilih Sopa memenangi anugerah wartawan terbaik.

Dia adalah seorang daripada wartawan WSJ yang bertindak membuat pendedahan mengenai 1MDB dan siri laporan susulan mengenainya.

Sebelum ini WSJ menjadi finalis bagi Hadiah Pulitzer untuk kategori laporan antarabangsa - yang menghargai kewartawanan cemerlang AS - juga berkaitan pendedahan 1MDB.

Sementara itu Malaysiakini turut menerima penghargaan untuk gambar semasa demonstrasi BERSIH 4 yang memaparkan penggunaan teknologi dron.

Sebuah lagi portal berita Malaysia The Star Online memenangi Anugerah Scoop Kumpulan B melalui laporan mengenai kenaikan kos visa bagi pekerja warga Indonesia di Malaysia yang menyebabkan semakin semakin sukar untuk mereka datang bekerja secara sah di negara ini.

Menurut Sopa calon bagi semua 18 kategori dalam bahasa Inggeris dan Cina diadili panel 100 juri dari seluruh dunia.

Ditubuhkan pada 1991 Anugerah Sopa dibuat untuk menghargai kecemerlangan media - baru dan tradisional - di rantau Asia.

Sopa pula ditubuhkan pada 1982 untuk memperjuangkan kebebasan media dan kecemerlangan kewartawanan serantau.

- Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget