Jawatan dikosong Uggah diharap diberi kepada Ahli Parlimen Sarawak


SIBU: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi mengisi jawatan menteri dikosong Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini.

Namun menurut Masing, jawatan tersebut harus diberikan kepada Ahli Parlimen Sarawak memandangkan sebelum ini ia disandang wakil rakyat dari Sarawak.

“Kita tidak pasti apa Perdana Menteri akan lakukan. Namun saya harap mereka yang akan mengisi jawatan itu nanti harus dari Sarawak,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan itu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pejabat firma guaman Ling Sempurai Hii & Partners Advocates di Jalan Kampung Nyabor.

Hadir sama ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Datuk Joseph Mauh Ikeh, pemilik firma guaman Sempurai Petrus Ngelai, Daren Ling Hang Hui serta Jacquelyn Hii Shin Law.

Menurut Masing, Sarawak mempunyai 14 ahli Parlimen yang layak untuk mengisi jawatan tersebut buat masa ini.

“Biar Perdana Menteri dengan bidang kuasanya menentukan siapa yang beliau fikirkan layak untuk mengisi jawatan tersebut.

“Namun saya percaya siapa yang dipilih menggantikan Uggah nanti adalah mereka yang layak,” jelas ADUN Baleh itu lagi.

Sementara ketika berucap pada majlis berkenaan, Sempurai memberitahu firma guaman Ling Sempurai Hii & Partners Advocates dimulakan lima tahun lepas oleh Daren Ling dengan nama Daren Ling Advocates.

Firma guaman itu katanya, juga mempunyai cawangan pertama di Kuching yang terletak di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim.

“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada semua atas kepercayaan dan sokongan yang berterusan selama ini.

“Kejayaan Ling Sempurai Hii & Partners Advocates tidak mungkin berlaku tanpa anda semua,” ujarnya sambil menambah akan berusaha memahami dan memenuhi keperluan semua pelanggan dalam memberikan perkhidmatan mereka.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget