Dr Ting tampil beri keterangan bantu siasatan polis


MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon semalam tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri memberi keterangan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan.

Setiausaha Agung DAP Sarawak Alan Ling yang bertindak sebagai peguam kepada Dr Ting berkata, anak guamnya berada di IPD Miri selama sejam dengan keterangan beliau dirakam dan diambil oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ASP Sim Hock Chai.

Bercakap kepada pemberita di sini, semalam selepas menemani Dr Ting memberi keterangan, Alan berkata pihaknya sebelum ini meminta supaya Dr Ting memberi keterangan kepada polis pada Isnin (hari ini) memandangkan beliau masih berada di luar Miri.

“Bagaimanapun, saya terpaksa membatalkannya (temu janji beliau) atas desakan polis yang mahukan keterangan diberikan hari ini (semalam) iaitu Ahad sedangkan apa yang dilakukan oleh Dr Ting bukan kes jenayah.

“Namun, kami terpaksa akur kerana ia adalah arahan Bukit Aman kepada polis di sini,” kata Alan.

Menurutnya, siasatan ke atas Dr Ting dilakukan ekoran petisyen dibuat oleh pencabar Dr Ting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu Datuk Hii King Chiong, calon Barisan Nasional (BN).

Pada Khamis lalu, Hii melalui peguamnya K.Y Lin memfailkan petisyen pilihan raya memohon mahkamah mengumumkan kemenangan Dr Ting sebagai batal dan tidak sah.

Pada hari berikutnya (Jumaat), Hii bersama peguamnya dan dua yang lain datang ke pejabat Dr Ting menyerahkan sendiri salinan petisyen tersebut kepada Dr Ting walaupun tanpa peguamnya.

Menurut Alan, tindakan tergesa-gesa itu sebagai menampakkan sangat tekanan daripada satu pihak kepada satu pihak lain.

“Bagi DAP, kami semua kekal berdiri di belakang Dr Ting dan berjuang bersama beliau menghadapi situasi ini.

“Kami melakukan yang terbaik kerana kemenangan beliau adalah pilihan pengundi dan rakyat di Pujut,” jelas Alan.

Pada PRN Ke-11 lalu, DUN Pujut menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Ting mewakili DAP, Hii (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan calon Bebas Fong Pau Teck.

Dr Ting memenangi DUN Pujut dengan 8,899 undi menewaskan Hii yang memperolehi 7,140 undi manakala Jofri mendapat 413 undi diikuti Fong (375).

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget