Pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz tid‎ak ganggu persiapan PRU14


KLUANG - Pemecatan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir disifatkan tidak akan menjejaskan persiapan BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau juga yakin Johor akan kekal sebagai kubu kuat Umno di sebalik pemecatan tersebut.

Beliau berkata, isu pemecatan berkenaan mampu diselesaikan dengan memberi penjelasan terperinci kepada akar umbi mengapa tindakan berkenaan perlu dilakukan.

"Saya percaya jika semua pihak melihat isu ini (pemecatan) dengan rasional dan bukan secara emosi, ia tidak akan menjejaskan parti keramat ini.

"Umno perlu letak prinsip kepentingan parti melebihi daripada kepentingan individu untuk kita terus maju ke hadapan.

"Saya yakin walaupun berlaku sedikit protes di kawasan Pagoh kita harap ia tidak akan menular. Walau akan ada sedikit cabaran, saya percaya Umno Johor masih kukuh dan kuat," katanya dalam sidang media selepas Program Rahmat Ramadhan, Khatam Al-Quran dan Majlis Kesyukuran Projek Jiwa Murni Parlimen Sembrong di Masjid Jamek Felda Ulu Dengar, dekat sini, hari ini.

Kelmarin, Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebulat suara bersetuju memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas kesalahan disiplin manakala seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahliannya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata, tindakan kedua-duanya yang berkempen di pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti, begitu dikesali dan satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau berjanji akan memastikan Johor terus mengibarkan panji Umno dan BN.

"Umno dan BN perlu fokus dan memastikan setiap kehendak dan kesusahan rakyat diatasi dan diselesaikan. Rakyat akan terus memberikan sokongan mereka jika kita terus menjaga kebajikan dan keperluan mereka," katanya.

- Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget