Laporan awal nahas Eurocopter AS350 sudah siap


PUTRAJAYA - Laporan awal tentang nahas yang menimpa pesawat Eurocopter AS350 berhampiran Sungai Batang Lupar, Sarawak pada 5 Mei, sudah disiapkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.‎ 

Beliau berkata laporan yang disediakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) itu mengandungi kenyataan fakta hingga tarikh berlakunya kemalangan itu, yang dikaji dengan teliti. 

Menurutnya, laporan itu disediakan berasaskan maklumat sejarah penerbangan, bukti daripada tempat nahas, kelayakan penerbangan, rekod penyenggaraan, rekod juruterbang dan maklumat meteorologi, katanya. 

"Waris mereka yang maut dalam kemalangan tragik itu sudah dimaklumkan tentang dapatan awal pasukan penyiasat," kata Tiong Lai‎ dalam kenyataan. 

Laporan awal itu dimuat naik dalam laman sesawang Kementerian Pengangkutan, www.mot.gov.my pada 3 petang ini. 

"Maklumat ini perlu dianggap sebagai bersifat tentatif dan tertakluk kepada pindaan atau akan dikemaskinikan sekiranya terdapat keterangan tambahan," katanya. 

Tiong Lai‎ berkata siasatan itu dibuat untuk menentukan keadaan dan punca berlaku kemalangan berkenaan. 

Pasukan penyiasat terdiri daripada lapan anggota, yang diketuai Kapten Datuk Yahaya Abdul Rahman sebagai ketua penyiasat, kata beliau. 

Menurut Tiong Lai‎ wakil bertauliah dari Lembaga Penyiasatan dan Inkuiri Kemalangan Pesawat Udara Filipina (AAIIB) juga hadir pada peringkat awal siasatan.

Katanya, sebarang pertanyaan berkaitan laporan itu boleh ditujukan kepada Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pengangkutan melalui e-mel beralamat UnitKomunikasiKorporat@mot.gov.my. 

Beliau berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan memberi perhatian terhadap syor yang dikemukakan pasukan penyiasat itu bagi mengelak berulangnya kemalangan atau kejadian serupa.

Pada 5 Mei, sebuah helikopter yang membawa lima penumpang dan seorang juruterbang dilaporkan hilang pada 4.12 petang tidak lama setelah berlepas dari Betong untuk ke Kuching. 

Mereka yang terbunuh dalam nahas itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, Tan Sri Noriah Kasnon, suami beliau Asmuni Abdullah; ketua setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Haron; Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; dan juruterbang warga Filipina, Kapt Rudolf Rex Ragas.

 - Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget