Majoriti penduduk Bukit Goram belum nikmati elektrik


KUCHING: Majoriti penduduk terutama di rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram di Kapit masih belum menikmati bekalan elektrik 24 jam.

Masalah ini dibangkitkan oleh Jefferson Jamit Unyat (BN-Bukit Goram) dalam ucapan bahasnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, semalam.

Sehubungan itu, Jefferson mencadangkan kepada kerajaan supaya menggandakan usaha untuk menyalurkan bekalan elektrik 24 jam kepada penduduk yang terlibat.

“Bukan sahaja masalah bekalan elektrik, malah majoriti penduduk dalam kawasan Bukit Goram masih kekurangan dari segi teknologi maklumat dan komunikasi terutama di luar bandar.

“Lebih menyedihkan apabila masih ada kawasan yang tidak diliputi dengan talian telekomunikasi apatah lagi Internet dan jalur lebar (WiFi).

“Justeru, saya menggesa agensi yang berkaitan agar menyediakan fasiliti telekomunikasi yang lebih baik ke kawasan saya Bukit Goram,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jefferson berkata penduduk di Kapit menanti kerja-kerja pembinaan Jalan Kapit/Song/Kanowit untuk disiapkan.

Sebaik kerja-kerja pembinaan jalan ini siap kelak ia akan menghubungkan Kapit dengan pekan-pekan lain dalam negeri ini.

Sehubungan itu, Jefferson menggesa kerajaan untuk mempercepatkan kerja-kerja pembinaan Jalan Kapit/Song/Kanowit demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

John dalam perbahasannya semalam, turut menyuarakan kebimbangan dengan peluang penyertaan golongan belia dari Bukit Goram dalam pembangunan sosioekonomi negara.

“Terdapat banyak institusi vokasional dan latihan diwujudkan bagi memenuhi keperluan belia terutama di kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, di Kapit hanya terdapat sebuah GIATMARA yang tidak mencukupi dan perlu ditambah dengan membina sebuah kolej vokasional.

“Bukit Goram adalah dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dikatakan bahawa banyak tenaga kerja mahir dan separa mahir diperlukan.

“Bagaimanapun tanpa institut latihan kemahiran, belia luar bandar kita tidak dapat terlibat dalam peluang pekerjaan,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget