Majlis pengebumian Bill Kayong bukti toleransi tinggi antara kaum di Sarawak


MIRI: Selesainya pengurusan jenazah Bill Kayong yang turut melibatkan upacara penghormatan terakhir mengikut adat kaum Iban membuktikan betapa kuatnya persefahaman dan toleransi tinggi antara kaum di Sarawak dalam memahami dan menghormati adat tradisi dan kepercayaan kaum lain.

Bill atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah telah selamat dikebumikan mengikut syariat Islam di Tanah Perkuburan Islam Lambir di Jalan Lusut, Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir sekitar jam 3 petang semalam.

Sebelum disemadikan, upacara ‘nyegaie’ diadakan selama dua malam di kediaman Bill di Desa Senadin.

‘Nyegaie’ memberi peluang kepada sanak saudara, rakan taulan serta kenalan pelbagai kaum berkumpul meratapi dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.


Berbangsa Iban, Bill memeluk agama Islam pada tahun 1996 selepas disahkan Pejabat Agama Islam Miri apabila berkahwin dengan isterinya, Hasyikin Hatta, 41.

Bercakap tentang aspek toleransi kaum, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, rakyat harus memberi keyakinan kepada pihak berwajib dalam menangani isu-isu sensitif khasnya melibatkan agama dan kepercayaan.

Ketika berlakunya kematian, katanya, penduduk harus menunjukkan rasa hormat kepada jenazah dan ahli keluarga walaupun terdapat perbezaan pendapat kerana pemahaman sedemikian amat penting dalam melahirkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Kita harus peka terhadap sensitiviti agama. Kita tidak boleh membuat tuduhan melulu. Kita harus ikut saluran yang betul,” jelas Ahmad Lai ketika dihubungi semalam.

Mengulas perkara sama, Ketua PKR Sibuti Mohdar Ismail berkata, amalan hormat-menghormati budaya dan kepercayaan kaum lain adalah kekuatan rakyat Sarawak.

Katanya, setiap rakyat memikul tanggungjawab menjaga sensitiviti kaum lain untuk mengelak wujudnya perbalahan yang pastinya akan merugikan semua pihak.

“Buatlah sesuatu yang betul tanpa menimbulkan apa-apa perbalahan,” jelas Mohdar.

Mohdar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat tidak mahu keharmonian dan toleransi yang dibanggakan rakyat Sarawak terjejas kesan tindakan golongan tertentu yang tidak peka akan sensitiviti kaum.

“Jangan menimbulkan isu yang boleh mencetuskan perbalahan kaum. Kekalkan bertoleransi demi kepentingan kita semua. Ini kerana di Sarawak kita mempunyai pelbagai etnik,tradisi dan kepercayaan,” ujarnya.

Bekas Setiausaha PEDAS Louis Jampi pula berkata, sikap terlampau sensitif khasnya melibatkan isu agama dan kepercayaan harus dibendung daripada menular dalam masyarakat pelbagai kaum.

“Kita harus kekalkan sikap toleransi yang diamalkan kita sekarang. Ini kerana perpaduan kaum dan toleransi agama penting untuk keamanan,” jelas Louis.

Louis berterima kasih dan memuji kerjasama Jabatan Agama Islam (JAIS) dan pihak Masjid Ar’Rayyan Permyjaya yang menguruskan jenazah Bill.

Jenazah telah dibawa ke masjid tersebut pada jam 10.35 pagi semalam dari kediaman keluarga di Desa Senadin untuk dimandi, dikapan dan solat jenazah disempurnakan selepas solat Jumaat sekitar jam 1.30 petang.

Hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mayat Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Lambir menggunakan van jenazah melalui perjalanan sejauh kira-kira 40 kilometer.

Kematian Bill, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri pada Selasa, 21 Jun lalu bukan sahaja mengejutkan penduduk Miri, malah seluruh negara setelah ditemui maut ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali.

Lebih dikenali sebagai aktivis kaum Dayak dan pejuang isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Bill, 43, ditemui mati pada jam 8.30 pagi di dalam kenderaan pacuan empat roda miliknya di lampu isyarat berdekatan pusat komersil Emart, Tudan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Bkn kaum lh, die masuk islam pn tetap kaum iban, agama

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget