Berita Harian putar belit kenyataan Wan Azizah: PKR


PKR hari ini mendakwa, kenyataan Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam laporan akhbar Berita Harian bertajuk 'Wan Azizah mencabar Tun M bertanding dalam PRU' diputarbelitkan.

Menurut Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil, makna asal kenyataan yang dibuat anggota parlimen Permatang Pauh itu diputar belit ketika diminta untuk mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Malah, Fahmi menjelaskan, Wan Azizah tidak membuat sebarang cabaran kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya hanya membetulkan kenyataan Salleh yang ditulis di blognya.

"Apabila menjawab pertanyaan wartawan Berita Harian, Datuk Seri Dr Wan Azizah tidak membuat sebarang cabaran kepada Tun Dr Mahathir untuk bertanding dalam pilihan raya, tetapi beliau hanya membetulkan kenyataan Datuk Seri Salleh bahawa seorang ketua pembangkang Parlimen bukanlah boleh dilantik sewenang-wenangnya tetapi mestilah dari kalangan anggota-anggota Parlimen yang sedia ada," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi berkata, kenyataan yang dikeluarkan Salleh hanya menimbulkan persepsi bahawa menteri tersebut tidak mengetahui prosedur lantikan seorang ketua pembangkang di negara ini.

"Sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, agak memeranjatkan dan memalukan jika beliau tidak memahami prosedur tersebut.

"Maka saya hanya boleh menggesa pegawai-pegawai beliau agar menasihati beliau mengenai perkara teknikal seperti ini sebelum beliau mengeluarkan kenyataan di masa hadapan.

"Jangan hanya kerana mahu "pukul curi" dan mengadu-domba di kalangan pihak pembangkang hingga fakta dan prosedur tidak dijadikan asas," kata Fahmi.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan Wan Azizah didakwa mencabar Mahathir supaya bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Wan Azizah, Mahathir dicadangkan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya negarawan itu mahu terus membabitkan diri dalam kancah politik negara.

"Kalau Tun (Mahathir) mahu jadi ketua pembangkang, beliau perlu bertanding dulu. Saya naik (menjadi ketua pembangkang) pun kerana bertanding dan ada kerusi di Parlimen.

"Saya harap Tun pun boleh buat begitu," kata Wan Azizah dipetik sebagai berkata.-Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget