Najib saksi permeteraian MoU wujud bandar usahawan di Borneo744


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyaksikan permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan Bandar Usahawan Lautan Biru (BOET) pertama di Bintawa, Kuching (Borneo744).

Bandar itu, yang diumumkan oleh Najib di Kuching, Sarawak, pada 3 April, 2016, akan berfungsi sebagai hab kreativiti dan inovasi bagi mengumpulkan pemain industri bersama-sama di bawah satu bumbung untuk membentuk hubungan kerja yang lebih kreatif.

Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan Dr Aminuddin Hassim, dan Pengarah Urusan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SDEC), Soedirman Aini, menandatangani MoU itu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata projek Borneo744 itu dijangka siap pada akhir tahun ini.

“Kerajaan akan menyuntik RM20 juta untuk membaik pulih rumah gudang Jabatan Kerja Raya seluas 10 hektar menjadi bandar yang dikhususkan bagi usahawan muda,” katanya.

Mohd Irwan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis permeteraian tersebut.

Menurutnya, MoU itu terdiri daripada tiga komponen – usahawan muda, kedai-kedai makan dan aktiviti sukan.

“Kami menggunakan bangunan sedia ada untuk dibaik pulih dan diubah suai dengan kos minimum, tetapi dengan impak yang besar dan pantas.

“Dalam perjanjian itu, ia menyatakan Borneo744 akan beroperasi dalam tempoh enam bulan, tetapi kami mahu mempercepatkannya, kemungkinan dalam tempoh empat bulan. Itu lebih baik dan kami akan menggesa kontraktor melakukannya,” katanya.

Mengenai komponen pertama, Mohd Irwan berkata, ia akan terdiri daripada latihan keusahawanan, pejabat cawangan Sarawak Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan pusat pembangunan kandungan kreatif.

“Kami mahu Borneo744 kelihatan menarik kepada golongan muda dan kami memutuskan untuk menubuhkan beberapa pusat, antara lainnya, bidang berkaitan teknologi bagi membangunkan dan melahirkan lebih ramai usahawan yang beraspirasi,” katanya.

Bagi komponen kedai makan, beliau berkata, idea tersebut adalah untuk mewujudkan gerai makanan istimewa tempatan Sarawak sebagai platform bagi usahawan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

Selain aktiviti sukan ekstrem, Borneo744 juga akan menyediakan ruang bagi aktiviti masyarakat, katanya.

“Sebaik sahaja siap kelak, Borneo744 akan menjadi bandar yang moden, ceria dan selasa bagi golongan muda untuk bekerja, bermain dan makan bersama keluarga mereka,” katanya.

Mohd Irwan berkata kerajaan juga sedang berbincang dengan pemegang kepentingan yang berminat di pelbagai negeri untuk turut membuka bandar seperti Borneo744. 

- Bernama
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget