Pemimpin dan pengundi sokong permohonan Dr Rayong sertai PBB


KUCHING: Pemimpin dan pengundi akar umbi terus menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa untuk diterima masuk ke dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Mereka sependapat bahawa PBB adalah sebuah parti yang sangat kukuh, mempunyai struktur kepimpinan yang teguh serta diyakini mampu bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap, justeru platform yang sangat sesuai untuk Dr Rayong meneruskan karier politiknya demi pembangunan berterusan di DUN itu kelak.

Jurucakapnya, Tuai Rumah Johnson Damu dari Skim Skrang ketika menghubungi Utusan Borneo semalam berkata, Dr Rayong masih muda dan perjalanan politiknya masih jauh, justeru beliau pastinya memerlukan sebuah parti politik yang kukuh sebagai jaminan perjuangannya membantu rakyat di konstituensi ini kelak.

“Kami tidak ada masalah berkenaan hasratnya yang memohon untuk menyertai PBB dan sedia mengikut jejak langkahnya selepas ini.

“Malah sudah terdapat permohonan keahlian daripada bekas-bekas ahli parti yang dipimpinnya sebelum ini untuk menyertai beliau ke dalam PBB dan saya difahamkan bilangannya kini melebihi 3,000 orang,” katanya dan optimis jumlah yang memohon menyertai dan mengikut jejak langkah Dr Rayong akan meningkat saban hari.

Bercakap lanjut, beliau menegaskan bahawa seorang ahli politik yang bijak dan mementingkan pembangunan mampan di kawasannya akan sentiasa memastikan parti yang dinaunginya kekal utuh, mempunyai barisan kepimpinan yang kuat dan matang serta diterima ramai.

“Maka itu, kami melihat langkah beliau untuk menyertai PBB adalah satu keputusan bijak dan kami sebagai pengundi dan penyokong setia beliau akan menyokong pilihannya itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mewakili rakan-rakan lain merayu kepada kepimpinan tertinggi PBB agar menerima kemasukan Dr Rayong sebagai sebahagian daripada ahli PBB yang baharu.

“Saya berani berkata bahawa Dr Rayong dan kesemua lebih 3,000 ahli yang memohon menyertai PBB sangat komited dan akan mencurahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti tersebut selain menyokong tinggi kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan pemimpin-pemimpin lain parti ini.

“Kami mahu ADUN Engkilili sebahagian daripada jentera yang memacu pembangunan negeri ini ke landasan lebih baik bersama Pasukan Adenan yang telah dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu,” katanya.

Dr Rayong yang merupakan antara calon langsung Barisan Nasional (BN) dan belum mempunyai parti, harus menyertai mana-mana parti komponen BN setelah memenangi kerusi DUN Engkilili pada PRN lalu.

Turut memohon menyertai PBB dan daripada parti yang sama sebelum ini ialah ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil dan ADUN Opar Ranum Mina.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget