Kit Siang pun rakyat Malaysia, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjawab pemimpin Umno yang membidasnya kerana berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang, dengan berkata ia kerana ahli Umno tidak dapat bersuara atau menegur kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Jika ada Kit Siang atau sesiapa bersama saya, itu adalah kerana mereka seperti saya juga rakyat Malaysia yang hendak menyatakan kepada Najib melalui PRK ini bahawa rakyat sudah tidak lagi dapat menerima Najib sebagai perdana menteri.

“Hanya secara kebetulan sahaja mereka menjadi ahli parti-parti politik atau NGO,” kata bekas perdana menteri itu dalam catatan blognya hari ini.

Kenyataan Dr Mahathir itu susulan pemimpin Umno yang kerap kali mendakwa Dr Mahathir bersekongkol dengan Lim, yang dituduh rasis dan anti-Melayu.

Dr Mahathir dan Lim kerap muncul bersama sejak pelancaran Deklarasi Rakyat bagi memberi tekanan kepada Najib supaya berundur.

Menurut Dr Mahathir, Najib berjaya menakutkan ahli Umno sehingga mereka tidak berani bersuara.

“Kalau sesiapa menegur dianya dilucut keahlian dalam parti. Ini disusuli dengan larangan bertemu ahli dan pemimpin UMNO. Ada pula keputusan menggantung jawatan. Tidak ada peluang diberi untuk pertahan diri,” tulisnya.

Beliau memberikan contoh cara Najib memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara walaupun menerima bantahan raja-raja dan orang ramai.

“Saya bebas untuk berserta dengan apa sahaja gerakan. Sebagai rakyat Malaysia saya sertai gerakan rakyat untuk menumpaskan Najib,” kata Dr Mahathir yang keluar Umno akhir Februari lalu.

“Jika terdapat dalam gerakan ini Lim Kit Siang, dia juga rakyat. Hanya dalam usaha dan niat untuk singkirkan Najib sahaja kita bersetuju.” - FMT

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget