Petisyen calon langsung BN didakwa cuba nafi keputusan pengundi Pujut


MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon kesal tindakan calon langsung Barisan Nasional (BN) Datuk Hii King Chiong yang tidak dapat menerima dan cuba menafikan keputusan pengundi di Pujut dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) lalu.

Bercakap semasa sidang media di sini semalam, Dr Ting berkata Hii kini menggunakan dan menyalahgunakan proses perundangan untuk menafi keputusan pengundi yang berpihak kepada DAP.

“Sekali lagi saya menegaskan, saya tidak memiliki status kewarganegaraan lain selain Malaysia. Malah proses penamaan calon berjalan lancar membuktikan saya layak menjadi calon dan dengan undi rakyat untuk mewakili Pujut bagi tempoh lima tahun.

“Apa penting sekarang ialah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat di Miri.

“Saya sudah mengangkat sumpah di DUN dan kini mahu memberikan tumpuan penuh untuk membantu rakyat khususnya di Miri,” katanya.

Pada PRN11 lepas, DUN Pujut menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Ting (DAP), Hii (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).

Ting menang dengan undi majoriti 1,759 menewaskan Hii yang mendapat 7,140 undi, Jofri (413) dan Fong (375).

Kelmarin, Hii memfailkan petisyen pilihan raya di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan kemenangan calon Dr Ting atas alasan status kewarganegaraan yang tidak tepat dan dipercayai memegang kerakyatan Australia kerana namanya terdapat dalam senarai pengundi di negara itu.

Petisyen difaikan melalui peguam bela K.Y. Lin menamakan Dr Ting sebagai responden dan memohon mahkamah mengumumkan keputusan PRN kerusi DUN Pujut sebagai batal dan tidak sah serta mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerana mendapat undi kedua tertinggi atau diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) tanpa penyertaan DAP.

Dalam pada itu Dr Ting berkata, beliau menyerahkan kepada pasukan perundangan DAP untuk mengambil tindakan selanjutnya berkaitan petisyen itu.

“Sebaik sahaja menerima maklumat lanjut daripada Mahkamah Tinggi, saya akan memberikannya kepada pasukan perundangan parti. Sehubungan itu, saya tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget