Kafir harbi: Sekadar pandangan Mufti Pahang – Pejabat PM


KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri berpandangan, kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkaitan istilah ‘kafir harbi’ adalah sekadar satu pandangan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, kenya­taan sebenar Mufti Pahang itu bermaksud golongan kafir harbi wajib ditentang dan bukannya diperangi.

“Kenyataan ini juga bukan merupakan satu fatwa. Isu ini menimbulkan kontroversi kerana ada pihak yang cuba menyeleweng kenyataan berkenaan dengan menggunakan istilah ‘diperangi’”, kata Pejabat Perdana Menteri.

Abdul Rahman dilaporkan berkata, DAP yang jelas menentang pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam.

Pejabat Perdana Menteri seterusnya berkata, dalam konteks agama Islam, istilah kafir harbi merujuk kepada golo­ngan bukan Islam berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam Islam dan kesediaan memerangi pihak yang memerintah.

“Dalam konteks ini, rakyat Malaysia yang bukan Islam tidak boleh dikategorikan sebagai kafir harbi selagi mereka mempunyai kerakyatan yang sah dan dilindungi undang-­undang negara dan tidak memerangi pemerintah,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) bahawa pihak polis tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap Abdul Rahman.

Beliau berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya me­ngada-adakan cerita mahupun menuduhnya membuat kenya­taan berkenaan sedangkan belum ada ulasan yang dibuat mengenai perkara itu.

‘‘Ia (kenyataan) itu adalah bohong. Itu tidak baik dan ja­ngan buat fitnah di bulan Ramadan ini.

‘‘Sudah ada dua laporan polis di Dang Wangi dan Pulau Pinang mengenainya, jadi biarlah kita siasat dan jika ada apa-apa kesalahan kita akan ambil tindakan. Cakap-cakap seperti ini adalah tidak baik untuk negara kita yang berbilang agama dan kaum,” katanya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget