Angkatan Muda Keadilan Miri ‘tidak gembira’ dengan rombakan kabinet


MIRI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri melahirkan rasa yang ‘tidak gembira’ dengan keputusan rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Jun lalu, yang menyaksikan penurunan jawatan menteri Sarawak dalam rombakan kabinet semasa.

Ketua AMK Miri Steve Teo Jia Jun berkata, rombakan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu telah membangkitkan kemarahan ahli-ahli AMK dan menunjukkan satu keputusan yang berat sebelah.

Menurut Teo lagi, Sarawak menyumbang hampir 20 peratus daripada kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional (BN) dan ia memainkan peranan yang amat penting bagi BN untuk membentuk kerajaan persekutuan.

“Bagaimanapun Najib pula memilih untuk memberikan jawatan yang ditinggalkan oleh Datuk Amar Douglas Unggah kepada Ahli Parlimen di Semenanjung berbanding menyerahkannya kepada salah seorang Ahli Parlimen dari Sarawak.

“Ternyata tindakan beliau itu dilihat sebagai memperlekehkan kemampuan dan keupayaan Ahli Parlimen Sarawak dan menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Sarawak tiada ‘nilai’ di mata Perdana Menteri,” tambahnya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo di sini, kelmarin.

Steve juga memberitahu bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu juga telah menunjukkan bahawa Sarawak turut memberi lebih mandat atau kuasa terhadap kerajaan BN sekali gus memastikan BN kekal bertapak di Putrajaya, akan tetapi keputusan rombakan pada Isnin lalu, menunjukkan seolah-olah PM tidak menghargainya.

Sehubungan itu, sebagai warga Sarawak yang sayangkan negeri ini, Steve mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak lagi ‘terperangkap’ dengan kata-kata manis pihak terbabit, lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Anda lihat sendiri, selama ini Sarawak dianggap ‘deposit tetap’ oleh BN Pusat namun apabila tiba masa mereka perlu membuktikan sesuatu, mereka gagal malah tidak langsung melayan Sarawak sebagai apa yang dikatakan ‘deposit tetap’ selama ini,” ujarnya sambil memberitahu bahawa beliau kecewa dengan situasi yang berlaku.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget