Kemenangan BN petanda baik hadapi PRU14 : Wan Junaidi


SEMATAN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan petanda baik kepada BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kemenangan itu jelas menunjukkan rakyat sudah muak dengan politik pembangkang.

“Momentum bermula pada PRN11, selepas itu kita lihat pada PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang mana kita nampak ada perubahan.

“Kalau perubahan ini berterusan sememangnya ini petanda yang amat baik, bahkan ada segelintir akhbar di Semenanjung menjangkakan ini tsunami pergerakan semula masyarakat terutama kaum Cina menyokong semula BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama masyarakat Tanjung Datu serta penyampaian sumbangan kebajikan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim di pekarangan Masjid Noorul Islam di sini, kelmarin.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong dan ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB menjelaskan bahawa rakyat khususnya di luar bandar mahu melihat perkhidmatan yang diberikan oleh wakil rakyat masing-masing bukannya hanya mendengar tohmahan dan fitnah yang suka dimainkan oleh pembangkang.

“Kalau ini mereka tidak dapat laksanakan maka wakil rakyat itu gagal melaksanakan tugas untuk rakyat dan kita lihat DAP, dalam masa lima tahun rakyat kerugian kerana tidak mendapat bantuan dan sokongan.

“Malah, terdapat pemimpim pembangkang tidak melawat kawasan sendiri, sebab itu mereka sering bertukar kawasan termasuk Lim Kit Siang sendiri yang sering bertukar kawasan (kerusi pilihan raya) kerana janji-janji lama mereka tidak dapat tunaikan,” dedahnya.

Disebabkan perkara itu, katanya lagi, masyarakat mula sedar bahawa pihak pembangkang hanya sekadar bercakap kosong sahaja.

Justeru, beliau berharap setiap parti komponen BN terus memainkan peranan masing-masing dengan membantu rakyat di negara ini tanpa menunggu musim pilihan raya sahaja bagi mengekalkan momentum pencapaian baik BN dalam menghadapi PRU14 nanti.

Pada PRN11 lalu, BN menang 72 daripada 82 kerusi DUN yang ditandingi manakala pada PRK di Parlimen Sungai Besar, Selangor BN menang dengan majoriti 9,191 dan Parlimen Kuala Kangsar, majoriti 6,969.

Dalam majlis itu, Wan Junaidi mengagihkan sumbangan kepada 27 masjid dan surau dengan jumlah keseluruhan RM51,500 untuk aktiviti bulan Ramadan bagi Zon Tanjung Datu.

Pada masa sama beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 200 penerima yang terdiri daripada warga emas, anak yatim dan OKU.

-Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget