KPI tidak bagus, tidak akan dipilih PRN akan datang


KUCHING: Menteri dan wakil rakyat yang menunjukkan Indeks Prestasi Utama (KPI) tidak bagus, tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata wakil rakyat dengan KPI yang tidak bagus tidak akan bertanding lagi manakala rombakan kabinet mungkin akan dibuat jika ada menteri yang tidak bekerja dengan berkesan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya tentang akibat yang mungkin ditanggung oleh wakil rakyat dan menteri yang mempamerkan KPI yang tidak baik.

“Mereka mungkin tidak akan disuruh bertanding lagi,” kata Adenan ketika ditemui pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Bagi menteri yang tidak melaksanakan tugas dengan baik, beliau tidak menolak kemungkinan bagi rombakan kabinet untuk menggantikan mereka.

“Mungkin rombakan kabinet akan dibuat tetapi pada akhirnya, jika mereka tidak melaksanakan tugas dengan baik, mereka perlu dilucutkan,” kata Adenan.

Adenan dalam ucapan penggulungannya berkata beliau telah mewujudkan pengurusan berasaskan prestasi bagi semua kementerian di mana semua menteri diwajibkan melaksanakan KPI masing-masing.

“KPI ini juga penting untuk memastikan penjajaran yang strategik sentiasa ada di antara KPI kementerian dengan objektif dan matlamat pembangunan negeri. Saya akan memantau dengan dekat prestasi menteri menerusi KPI mereka.

“Pada waktu yang sama, semua wakil rakyat Barisan Nasional juga diwajibkan menyediakan KPI masing-masing di mana laporannya akan dikemukakan kepada saya sekali setiap enam bulan. Bagi tujuan ini, format laporan standard akan disediakan untuk mereka,” katanya.

“Dengan pengenalan KPI, saya berharap semua wakil rakyat akan sentiasa peka mengenai isu dan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.

“Menerusi usaha ini, kerajaan diharapkan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Bagi sektor swasta, sistem KPI biasanya meninggalkan kesan. Mereka yang mempunyai KPI yang baik akan diberi kenaikan gaji dan bonus lebih besar.

Sebaliknya mereka yang tidak menjalankan tugas dengan baik mungkin tidak akan menerima kenaikan gaji atau bonus, malah gaji mereka boleh dikurangkan.

Bagi menteri dan wakil rakyat, gaji mereka adalah satu perkara dalam negeri yang hanya dapat diubah suai oleh dewan sendiri, manipulasi terhadap gaji bulanan atau bonus tidak boleh digunakan sebagai alat untuk memberi ganjaran atau menghukum mereka bagi prestasi yang ditunjukkan.

Sementara itu, Timbaln Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing bersetuju bahawa dalam keadaan biasa, keuntungan kewangan boleh digunakan sebagai galakan untuk mendorong mereka yang menjalankan tugas dengan baik.

Demikian juga sebaliknya, ia dapat menjadi cara untuk menghukum mereka yang tidak menjalankan tugas dengan baik.

Bagaimanapun perkara ini tidak dapat diguna pakai kepada menteri atau wakil rakyat.

“Bagi kami, pendapatan bulanan adalah tetap. Jika KPI kami bagus, gaji kami tidak dapat dinaikkan. Jika KPI kami tidak bagus, gaji bulanan kami tidak dapat dikurangkan.

“Namun KM ada hak untuk mengeluarkan kami daripada portfolio kami. Jika saya tidak menjalankan tugas dengan baik sebagai Menteri Infrastruktur, dia boleh meletakkan saya di bahagian lain seperti menjaga orang kurang upaya,” kata Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan.

Beliau berkata rombakan kabinet boleh dilakukan jika KPI yang ditunjukkan oleh menteri kabinet tidak konsisten.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget