9 ADUN langsung BN dijangka akan diterima sertai PBB



KUCHING: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bertanding sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) yang memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu dijangka akan diterima pendaftarannya menjelang Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB, dalam tempoh dua minggu akan datang.

Setiausaha Agung PBB, Datuk Stephen Rundi Utom berkata, menjelang tarikh akhir pada Khamis depan, kesemua sembilan ADUN BN tanpa parti itu telah melakukan perbincangan di peringkat akar umbi, dan secara kasarnya telah bersetuju dengan keputusan wakil rakyat mereka untuk menyertai parti yang diterajui Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem itu.

Bagaimanapun katanya, untuk menyertai parti itu, mereka perlu mengikuti saluran yang betul, iaitu melalui ranting dan cawangan.

“Dan sebagai ahli baharu, mereka perlu mematuhi prosedur, syarat dan peraturan yang ditetapkan, termasuk tidak akan memegang sebarang jawatan dalam parti itu untuk tempoh dua tahun,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat ahli-ahli akar umbi Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) di Ibu Pejabat PBB dekat sini pagi tadi.

Rundi yang juga Setiausaha Agung BN Sarawak berkata, kesemua ADUN langsung BN ini tidak mahu kembali kepada parti asal mereka, dan sebagai pemimpin bagi Barisan Nasional Sarawak, tidak ada apa yang dapat dilakukan namun perkara tersebut tidak boleh dibiarkan.

“Mereka tidak boleh dibiarkan tergantung begitu lama, kerana yang rugi adalah rakyat.

Sehubungan itu katanya, permohonan mereka untuk menyertai PBB selepas mematuhi arahan Presiden untuk merujuk kepada akar umbi, akan dipertimbangkan.

Sembilan ADUN langsung BN yang memohon menyertai PBB ialah Tan Sri William Mawan Ikom (Pakan), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Ngumbang ( Batu Danau). Ketiga-tiganya sebelum ini merupakan ahli parti Teras.

Turut memohon menyertai PBB ialah tiga bekas pemimpin Parti Rakyat Bersatu (UPP) iaitu Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkelili).

Manakala tiga bekas ahli PBB sendiri ialah Miro Simoh (Serembu), Datuk Gerawat Gala (Mulu) dan John Ilus (Bukit Semuja).

Menurutnya, berkaitan dengan penyertaan besar-besaran ahli Teras ke dalam PBB, ia akan ditangani secara berhati-hati, termasuk untuk melindungi pemimpin parti di peringkat cawangan yang akan disertai mereka.

Mengulas lawatan pemimpin akar umbi Teras hari ini, Rundi berkata ia hanyalah kunjungan kepada Setiausaha Agung PBB, yang bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan prosedur untuk menyertai parti itu. – Sarawakvoice.com

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget