KPI Menteri & Wakil Rakyat, untuk tunaikan janji dalam manifesto BN


KUCHING: Indeks Pretasi Utama (KPI) kalangan menteri dan wakil rakyat bukan sekadar panduan tetapi menjadi landasan bagi membalas kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata ia menjadi sebahagian daripada langkah wakil rakyat untuk menunaikan janji dalam manifesto BN pada pilihan raya lalu.

“Kerajaan BN serius mahu memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu memastikan semua wakil rakyat melaksanakan tugas seperti yang dijangkakan.

“Kami (menteri dan wakil rakyat) mesti menunaikan janji dalam manifesto dan rakyat sudah memberi mandat kuat kepada kami. Oleh itu, kami mesti membalas kepercayaan mereka,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri sebelum ini bahawa menteri dan wakil rakyat yang menunjukkan KPI tidak bagus, tidak akan dicalonkan pada pilihan raya akan datang.

Adenan berkata, wakil rakyat dengan KPI yang tidak bagus tidak akan bertanding lagi manakala rombakan kabinet mungkin akan dibuat jika ada menteri yang tidak bekerja dengan berkesan.

Sementara itu, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendekatan itu sememangnya digunakan dalam mana-mana jawatan sama ada sebagai menteri, penjawat awam mahupun pentadbiran.

Katanya, ia bukan sahaja digunakan di peringkat kerajaan malah swasta dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat ditingkatkan .

“Sekiranya mereka tidak menjalankan kerja atau tugas dengan baik dan betul memang wajar mereka ditukar.

“Untuk wakil rakyat dan menteri, sekiranya tidak mencapai KPI yang ditetapkan bermakna masanya sudah tiba ditukar atau diturun dari jawatan mereka,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget