SUPP mempunyai kaedah baharu jamin keteguhan


SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kini mempunyai kaedah baharu dalam memastikannya terus berdiri teguh, kata Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian.

Oleh itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dan ahli SUPP yang masih kekal kukuh dan memberi sokongan penuh kepada SUPP selama ini.

“Ini adalah selaras dengan perubahan semasa. Kami tetap bertekad memberi yang terbaik selagi mampu memenuhi harapan rakyat untuk kepuasan mereka dan bekerjasama untuk kebaikan dan manfaat semua.

“Apa yang penting SUPP sekarang adalah SUPP baharu dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemimpin veteran SUPP kerana memberi kami peluang terutama anak-anak muda menerima kaedah baharu dikemukakan,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-57 SUPP Wilayah Tengah di sini, malam kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu adalah amat bermakna kerana rakyat melihat SUPP berubah dan memberi peluang kepada SUPP terus memimpin.

Menurutnya, SUPP milik ahli-ahli yang perlu berkhidmat kepada rakyat dan bukan pemimpinnya kerana SUPP hari ini adalah milik rakyat Sarawak.

“Kami berkhidmat untuk rakyat dengan sepenuh hati dan turun padang mendengar masalah rakyat dan menanganinya,” ujar beliau.

Selain itu, Dr Sim berkata SUPP secara keseluruhannya kini tidak wujud berpuak-puak seperti masa lalu apabila terdapat di Kuching, Sibu dan Miri.

“Kami bekerja bersama satu pasukan menjaga kepentingan rakyat. Kepimpinan pusat parti sentiasa berhubung dan bekerjasama rapat dengan cawangan SUPP lain memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kami memastikan bahawa warga Sibu tidak tercicir daripada penjagaan dan perkhidmatan kami,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pemimpin SUPP melakukan yang terbaik dengan sedaya upaya menjalankan tugas dan tanggungjawab kerana rakyat memberi peluang sekali lagi kepada SUPP terus berdiri teguh.

“Oleh itu, kami tidak boleh membiarkan rakyat kecewa dan kami perlu menjalankan tugas-tugas dengan baik berdasarkan kebolehan,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden SUPP Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Agungnya Datuk Sebastian Ting, Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi SUPP Bukit Assek Chieng Buong Toon, Pengerusi SUPP Bawang Assan Robert Lau, Pengerusi SUPP Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck dan tokoh korporat Tan Sri Datuk Tiong Su Kuok.

-Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget