Penyokong Team Adenan tidak semestinya penyokong kepada ‘Federal Team’


KUCHING: Warga Sarawak yang mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) diharap tidak akan beralih angin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.

“Jika banyak janji tidak ditunaikan oleh kerajaan persekutuan, isu ini akan dijadikan propaganda politik oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum kelak dan mungkin ramai pengundi memilih untuk menunjukkan kekecewaan mereka pada masa itu.

“Penyokong Team Adenan tidak semestinya penyokong kepada ‘Federal Team’ (kerajaan persekutuan),” kata Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC)Sarawak Abdullah Saidol.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai rombakan kabinet persekutuan, membayangkan mungkin wujud perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Sarawak susulan tidak ada Ahli Parlimen daripada kalangan Dayak dilantik sebagai menteri penuh.

Sebelum PRN11, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas merupakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dalam kabinet persekutuan.

Ia kosong apabila Uggah melepaskan jawatan selepas dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban pada PRN11.

“Saya menjangkakan rombakan kabinet persekutuan yang baharu menarik perhatian warga Sarawak terutama di kalangan mereka yang ingin menyaksikan warga Sarawak (Ahli Parlimen) dari wilayah tengah Sarawak dilantik sebagai menteri penuh,” katanya.

Menurutnya, kemenangan besar BN pada PRN11 tidak sepatutnya membuatkan kerajaan persekutuan berasa selesa.

Pada PRN11, Team Adenan menang 72 daripada 82 kerusi.

Dalam pada itu, Abdullah mengucapkan tahniah atas pelantikan Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi merupakan nama yang diuar-uarkan akan dilantik menjadi menteri menggantikan Uggah.

Kedua-duanya merupakan ahli PBB daripada sayap Pesaka.

Kelmarin, Uggah berkata beliau amat kecewa apabila Ahli Parlimen dari Sarawak tidak dilantik mengisi kekosongan ditinggalkannya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget