Dr Sim nafi dakwaan kerajaan lanjut tempoh Ahli Majlis (Kaunselor)


SIBU: Kementerian Kerajaan Tempatan tidak melanjutkan tempoh bagi ahli majlis (kaunselor) untuk enam bulan lagi selepas penggalnya berakhir hujung bulan ini.

Menterinya Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, beliau tidak tahu bagaimana khabar angin sebelum ini mengatakan bahawa ia akan dilanjutkan kepada enam bulan lagi (sehingga hujung tahun).

“Sebagai menteri bertanggungjawab, saya tidak tahu bahawa ia akan dilanjutkan kepada enam bulan lagi. Itu tidak benar.

“Semua nama kaunselor baharu hendaklah dikemukakan melalui kementerian saya.

“Kita tidak akan melanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi kerana jika kita berbuat demikian ia akan melebihi tempoh atau penggal sepatutnya.

“Sudah berapa kali lanjutan dilakukan sebelum ini. Jika kita terus melakukan tempoh lanjutan, kita seolah-olah gagal dalam tugas melakukan sesuatu yang kita perlu lakukan dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-57 SUPP Wilayah Tengah di Dewan Suarah Sibu, malam kelmarin.

Hadir sama Naib Presiden SUPP Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi SUPP Bukit Assek Chieng Buong Toon, Pengerusi SUPP Bawang Assan Robert Lau, Pengerusi SUPP Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck dan tokoh korporat Tan Sri Datuk Tiong Su Kuok.

Presiden SUPP itu berkata, pada masa ini beliau bekerja keras memastikan semua senarai nama baharu ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri siap akhir bulan ini.

“Oleh itu pada Julai ini akan ada ahli majlis baharu (kaunselor). Saya cuba sedaya upaya kerana ia adalah satu penyelarasan antara empat parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk mendapat tempat di PBT masing-masing.

“Saya tidak mempunyai kawalan ke atas apa yang berlaku dalam setiap satu daripada parti komponen.

“Kami cuba sedaya upaya memastikan semua nama (kaunselor baharu) siap pada akhir bulan ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah itu berkata, kementerian akan mempunyai ahli majlis baharu dan mengekalkan beberapa ahli majlis yang berprestasi cemerlang.

Menurut beliau, terdapat beberapa individu baharu dipilih bagi jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi.

“Daripada kementerian kita, pada tempoh Ogos pertama ada beberapa setiausaha majlis-majlis PBT dipindahkan tugas.

“Malah, saya mahu melakukannya pada tempoh Julai pertama tetapi saya perlu menangguhkannya dahulu kerana temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di sini bulan depan,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget