Kejayaan bawa pulang 2 nelayan hanya kebetulan dengan PRK


Kejayaan membawa pulang dua nelayan dari Sekinchan, Selangor yang ditahan pihak berkuasa Indonesia hari ini hanya kebetulan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Sehubungan itu, pembangkang tidak patut menjadikan usaha membebaskan Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong sebagai kempen Barisan Nasional berdepan PRK.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md.Yunos berkata demikian dalam sidang media sebaik sahaja tiba di jeti nelayan Sekinchan bersama dua nelayan tersebut, petang tadi.

Hadir sama Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woo.

“Ini adalah usaha dan kesinambungan usaha pemimpin-pemimpin Bahagian Sungai Besar termasuk saya, MCA dan Gerakan.

Penahanan mereka sejak 4 Mac. Walau agak sukar melakukan tugas ini tetapi dengan semangat daripada rakan-rakan serta pemimpin negara, usaha itu berhasil dan mencatat sejarah petang ini,” katanya.

Menurut Jamal, usaha membebaskan dua nelayan itu bukan satu proses yang senang malah beliau dua kali berulang alik ke Jakarta dan Batam, Indonesia tempat nelayan itu ditahan.

“Ia tiada kaitan dengan PRK, hanya kebetulan. Tiada sebab pembangkang mengaitkannya dengan PRK. Ini kerja berterusan semua pihak serta sokongan Perdana Menteri dan timbalannya termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim,” katanya.

Menjawab soalan mengenai ketiadaan Adun DAP Sekinchan Ng Sue Lim menyambut kepulangan dua nelayan itu, Jamal percaya wakil rakyat tiga penggal bukan sesaorang yang bertanggungjawab.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak keluarga berjumpa beliau meminta tolong tetapi diberitahu ini adalah tanggungjaab kerajaan. Saya percaya beliau terperanjat dengan apa berlaku hari ini,” katanya.

Katanya, tiada syarat pembebasan dua nelayan itu kerana ianya mendapat pengampunan penuh Presiden Indonesia malah bot nelayan yang ditahan sebelum ini boleh dituntut selepas ini.

Menurut Jamal keluarga dua nelayan itu amat berterima kasih dengan usaha membebaskan mereka selepas ditahan sejak tiga bulan lalu.

Jamal turut merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Indonesia mempertimbangkan bukti-bukti yang dikemukakan bagi menuntut pembebasan kedua-dua nelayan itu.

Bagi mengelak perkara itu berulangan, beliau meminta nelayan memanfaatkan sistem Identifikasi Automatik (AIS) yang merupakan sistem pengesanan automatik bagi vesel atau bot nelayan bagi menjaga keselamatan dan mengelak tersasar ke perairan negara jiran.

“Tidak timbul soalan kewangan kerana kerajaan sudah memberikan AIS secara percuma dan saya berharap nelayan-nelayan menggunakan sistem itu bagi mengelak masuk perairan negara lain,” katanya.

Minggu lalu, seramai 923 nelayan di Parlimen Sungai Besar menerima AIS yang berharga RM4,500 hingga RM5,000 yang diserahkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha mengelak bot-bot nelayan terkeluar daripada sempadan menangkap ikan serta memudahkan mengesan mereka.

Dua hari lalu, beliau mengumumkan mengenai pembebasan dua nelayan itu hasil daripada rundingan kerajaan dengan Presiden Indonesia, Jokowidodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang akhirnya telah menandatangani pengampunan terhadap dua nelayan daripada Sekinchan itu.

- BNBBC

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget