'20 tahun ADUN Marudi tidak pernah datang rumah panjang kami, kata Tuai Rumah Sarah'

"Rumah panjang kami tiada bekalan elektrik, jalan raya dan bekalan air bersih. Jangan cakap mengenai tangki air 1Malaysia, tong dram 1Malaysia untuk menyimpan air pun kami tidak ada"

MIRI: Penduduk di beberapa rumah panjang di kawasan Hulu Teru dan Lapok terpaksa membuat penyambungan elektrik secara haram selepas bekalan elektrik yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan.

Beberapa tuai rumah dari kawasan itu mendakwa, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran pernah memberitahu penduduk bahawa kedua-dua kawasan itu akan mendapat bekalan elektrik bagi membolehkan mereka menyambut Krismas dengan lebih meriah.

Tuai Rumah Kalong Goh berkata Entri menerusi akhbar bertarikh 26 November lalu berjanji bahawa penduduk di Lapok dan Hulu Teru akan meraikan Krismas dalam suasana penuh bermakna kerana ada bekalan elektrik.

“Bagaimanapun, kami tidak menerima bekalan elektrik yang dijanjikan sebaliknya terpaksa menggunakan generator dan ada sebahagian penduduk membuat penyambungan haram,” katanya semasa menerima kunjungan pemimpin Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) diketuai calon untuk Marudi, Datu Dr Penguang Manggil dan Ketua Pemuda SPDP Robert Ayu.

“Entri boleh membuat janji dalam akhbar untuk tatapan umum tetapi kami di sini tidak tahu menahu. Saya cabar beliau buat janji bersemuka dengan kami di Hulu Teru.

“Sudah 20 tahun kami di bawah wakil rakyat itu, tapi apa yang diberi kepada kami, kami lihat hanya wayar elektrik di dinding, adakah disambung dengan tiang elektrik di luar? Kami masih pakai generator sendiri,” kata Tuai Rumah Kalong dengan nada marah.

Turut mempersoalkan janji manis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu ialah Tuai Rumah John Merikan dan Tuai Rumah Lingga Jenggin dari Hulu Teru yang mahu tahu ke mana perginya janji tersebut.

Tuai Rumah John Merikan pula berkata, mereka tidak dibekalkan dengan kuasa eletrik walaupun tiang elektrik sudah ada di luar rumah.

“Kami tiada pilihan sebaliknya terpaksa menyambung secara tidak sah untuk Krismas. Selain itu kami sudah beberapa kali memohon bantuan zink untuk menggantikan zink yang sudah lama namun sehingga kini tidak diendahkan,” katanya.

Turut mengalami masalah serupa ialah Rumah Lingga Jenggin yang terpaksa bergantung dengan jana kuasa untuk bekalan elektrik.

Selain masalah ketiadaan elektrik, penduduk di Rumah Sarah turut memberitahu bahawa mereka juga tidak mempunyai bekalan air bersih dan jalan raya yang baik.

“Sejak mendiang bapa saya menjadi tuai rumah sehingga saya sendiri menjadi tuai rumah, Entri tidak pernah memijak kaki ke rumah panjang kami.

“Rumah panjang kami tiada bekalan elektrik, jalan raya dan bekalan air bersih. Jangan cakap mengenai tangki air 1Malaysia, tong dram 1Malaysia untuk menyimpan air pun kami tidak ada,” kata Sarah.

Pada majlis sama Penguang turut menyampaikan geran kerajaan persekutuan melalui Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing kepada Tuai Rumah Kalong berjumlah RM80,000.

Dalam pada itu, ketua Pemuda SPDP menggesa pihak berkuasa menyiasat tuduhan-tuduhan yang dibangkitkan oleh tuai-tuai rumah itu.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget