Tiong calon boleh menang di DUN Dudong


SIBU: Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dato Sri Wong Soon Koh menyifatkan Datuk Tiong Thai King sebagai calon boleh menang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

Kerusi DUN Dudong pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN), jatuh ke tangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menerusi Yap Hoi Leong pada PRN lalu dan beliau menang tipis dengan majoriti 399 undi.

Bercakap pada Majlis Pecah Tanah Pusat Khidmat UPP Stabau di bawah UPP Cawangan Dudong di sini semalam, Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti berkata, keputusan muktamad agihan kerusi, bagaimanapun terpulang kepada Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Seperti saya lihat, Tiong mempunyai peluang paling cerah untuk merampas semula kerusi itu daripada DAP dan jika beliau diletakkan sebagai calon BN-UPP, saya minta semua ahli UPP berdiri teguh di belakangnya,” katanya.

Beliau berkata, ahli-ahli parti bukan sahaja perlu berdiri di belakang Tiong yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) tetapi berdiri teguh bersama-sama untuk rakyat dan BN.

Menurutnya, dengan sikap demikian mereka dapat berkhidmat di kawasan DUN Dudong dan berjuang untuk hak-hak politik rakyat.

“Kita perlu memberi Ketua Menteri lima tahun lagi untuk mencapai misi aspirasi rakyat.

“Kita harus berdiri teguh di belakang beliau,” katanya yang juga ADUN Bawang Assan.

Pusat khidmat itu terdiri daripada sebuah bangsal terbuka dengan kos pembinaannya RM50,000.

Pada majlis itu, Wong dan Tiong masing-masing menyumbang sejumlah RM20,000 untuk pembinaan pusat khidmat itu.

Bercakap mengenai komitmen UPP, Wong meminta ahli-ahlinya terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Prinsip UPP adalah ‘Rakyat Didahulukan’ dan apabila ada yang memerlukan kita mesti menjadi orang pertama untuk berada di sana.

“Tinggal dengan rakyat dan bekerja untuk mereka. Anjurkan aktiviti dengan mereka. Kita juga boleh menyediakan kaunter perkhidmatan,” tambahnya.

Beliau berkata bagi UPP Dudong mereka menubuhkan empat jawatankuasa perkhidmatan masing-masingnya di Sibu Jaya, Naman, Lanang dan Stabau bagi berkhidmat kepada rakyat.

Sementara itu, Tiong yang juga pengerusi UPP Dudong ketika menyampaikan ucapan aluannya berkata, beliau menjangkakan satu persaingan sengit di DUN Dudong pada PRN 2016.

Beliau turut menggesa ahli-ahli parti untuk bersatu.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuan dan Pengerusi Pusat Khidmat UPP Stabau Kong Tze Liing.

-Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget