Jabu nafi kemungkinan akan berundur pada PRN 2016


KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang antara pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berkemungkinan berundur pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

Kemungkinan bertambah kuat apabila timbalan presiden PBB yang juga Timbalan Ketua Menteri itu dilihat saling berpelukan dengan pemimpin PBB yang lain selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Ibu Pejabat PBB semalam.

Jabu yang ditemui selepas mesyuarat itu semalam bagaimanapun menafikan spekulasi tersebut dan meminta semua pihak tidak mempercayai spekulasi itu.

“Kami berpelukan bukan kerana saya akan berundur tetapi meraikan kejayaan dan komitmen PBB dalam Barisan Nasional (BN) dan ia adalah hari jadi saya,” jelas Jabu sebagai menafikan spekulasi itu.

Sementara itu ahli MKT PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui tidak menolak sebahagian daripada pemimpin PBB terutama pemimpin lama akan berundur pada PRN kali ini.

“Seperti yang Ketua Menteri yang juga presiden PBB nyatakan, perkara ini adalah tidak mustahil dan tekaan anda sangat bagus.

“Anda sendiri lihat tadi siapa yang peluk siapa selepas mesyuarat MKT dan petunjuknya semakin jelas,” katanya.

Tambah Karim yang juga Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia (Bandar) dan ADUN Asajaya, pengunduran untuk perubahan yang lebih baik amat dialukan dalam PBB.

Malah katanya, setiap daripada kalangan mereka dalam PBB akan melalui saat yang sama kelak bila tiba masanya untuk mereka berundur dan memberi laluan kepada muka baharu.

“Suatu hari nanti giliran kami juga akan sampai dan ia adalah saat yang menyentuh hati kami semua,” kata Karim yang terus enggan mengesahkan spekulasi mengenai pengunduran Jabu.

“Saya tidak akan mengumumkan nama pemimpin kanan dan lama PBB yang akan berundur. Biarkan ia keluar dari mulut Ketua Menteri sendiri yang juga presiden PBB dan pengerusi BN Negeri,” ujar Karim.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget