Kes NCR meningkat, tribunal tanah perlu ditubuh


SIBU: Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Panglima Richard Malanjum berkata, peningkatan kes melibatkan tuntutan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) memerlukan penubuhan sebuah tribunal tanah.

Menurut Malanjum, mahkamah Sabah dan Sarawak kini masih dibebani dengan kes-kes NCR dimana sebanyak 20 kes baharu didaftar di Sarawak dan 10 kes di Sabah tahun lepas.

“Mungkin sudah tiba masanya pihak berkenaan untuk mempertimbangkan dengan serius penubuhan tribunal tanah ini. Mereka berpengetahuan dalam tuntutan tanah hak adat ini atau Mahkamah Bumiputera/Asli yang telah disusun semula dengan ahli fasih tuntuan dan perebutan diberi peluang untuk mendengar kes,” ujarnya.

Malanjum berkata demikian pada majlis pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2016 di Kompleks Mahkamah Sibu, semalam. Hadir sama ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King serta yang lain.

Sibu dan Kuching mencatatkan kes NCR terbanyak iaitu masing-masing tujuh kes sementara Miri dan Bintulu masing-masing tiga kes, sementara itu, 20 kes berjaya diselesai dan 28 lagi kes masih dalam proses perbicaraan manakala di Sabah, hanya lima kes sahaja yang belum selesai.

“Jumlah ini mungkin kecil tetapi ia mengambil masa berminggu-minggu atau memakan masa berbulan untuk menyelesaikan satu kes NCR,” jelasnya sambil menambah kes NCR tidak hanya melibatkan isu perundangan tetapi wujud unsur kebudayaan dan tradisional.

Selain itu pada tahun lepas katanya, mahkamah di Sabah dan Sarawak juga turut memberi tumpuan terhadap kes berkaitan alam sekitar dan pelancongan.

Malah negeri Sabah ujar Malanjum, menjadi negeri pertama di Malaysia dimana pengusaha bas pelancong tidak berlesen telah didakwa di mahkamah.

“Berdasarkan statistik pada tahun 2015, sejumlah 52 kes berkaitan alam sekitar didaftar di Sabah dan 28 kes di Sarawak. Bagi kes berkaitan pelancongan, 10 didaftar di Sabah dan 12 di Sarawak.

Dalam pada itu katanya, lebih banyak usaha akan diberikan bagi mendengar kes-kes berkaitan pendaftaran kelahiran lewat, pada tahun lepas sejumlah 4,564 kes daripada 12,282 kes telah diselesaikan. Terdapat sejumlah 11,146 kes yang masih tertangguh dengan kebanyakan mereka terlibat dari negara jiran,” tambah Malanjum.

- Borneo Post Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget